'Bukan exco PAS luluskan bayaran RM2.6 juta'
Empat bekas exco PAS yang kekal hingga ke akhir bersama pentadbiran menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim sebelum ini dikatakan tidak meluluskan bayaran RM2.6 juta daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI kepada lapan bekas kakitangannya.
Justeru, kata anggota parlimen PAS di Shah Alam Khalid Samad ( kanan ), sebarang usaha untuk mengheret PAS Selangor dalam isu itu adalah “berniat jahat”.
Beliau juga menggesa siasatan segera dibuat oleh kerajaan negeri berhubung perkara itu.
Berhubung laporan bahawa exco PAS meluluskan bayaran itu dalam mesyuarat exco terakhir mereka, Khalid Samad berkata mereka hanya dimaklumkan dan kelulusan tidak dibuat mereka.
Ia sebaliknya, tambah Khalid Samad, dibuat oleh lembaga pengarah MBI sendiri.
SUK mulakan siasatan
Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohamed Khusrin Munawi ( bawah ) semalam dilaporkan berkata pihaknya memulakan siasatan berhubung dan akan bertindak terhadap aduan itu.
Beliau antara tiga anggota MBI selain menteri besar dan pegawai kewangan negeri.
Sejumlah wang itu didakwa dibayar ketika penghujung perkhidmatan Khalid Ibrahim sebelum Azmin Ali mengambil alih kedudukannya.
Antara pembantu yang didakwa menerimanya ialah bekas ketua pegawai eksekutif MBI Faekah Husin, Setiausaha Akhbar Arfa’eza Abdul Aziz dan Setiausaha Politik Mustapa Mohd Talib.
Azmin dilaporkan berkata isu itu akan dibincangkan pada minggu ini dalam mesyuarat lembaga MBI.
Laporan penuh berhubung perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat exco pada 12 November lalu.

