Kali ini, Syed Azmi tawar sayuran percuma
Walaupun dituduh murtad dan berdepan dengan ugutan selepas menganjurkan acara kontroversi 'Saya Mahu Sentuh Anjing', namun ia tidak menghalang Syed Azmi Alhabshi untuk meneruskan kempen sosialnya
Kali ini, misinya ialah untuk mendidik orang ramai mengenai
konsep 'pasar percuma'.
Pasar percuma yang bakal dianjurkan Syed Azmi dan rakan-rakannya Ahad ini di Masjid Tun Abdul Aziz, Petaling Jaya adalah pasar yang menyediakan sayur-sayuran percuma untuk mereka kurang bernasib baik atau mereka yang berdepan masalah perbelanjaan.
Selain sayur-sayuran, pihak penganjur juga menyeru mereka yang berminat untuk membuat sumbangan apa saja, termasuk barangan elektronik, pakaian dan perabot, dan membawanya ke masjid tersebut pada hari berkenaan, dari jam 10 pagi hingga 1 tengahari.
Konsep 'pasar percuma' sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru di Malaysia.
Beberapa pihak telah menganjurkan pasar percuma di sekitar Lembah Klang yang menawarkan apa saja, daripada pakaian hingga ke makanan, serta urutan percuma, bagi siapa saja yang mengingininya.
Sesetengahnya diadakan khusus untuk membantu golongan kurang bernasib baik, manakala yang lain diadakan untuk menggalakkan kitar semula dan meningkatkan perpaduan di kalangan masyarakat.
Sementara itu, Syed Azmi menggesa mereka yang berminat untuk mengambil bahagian supaya menghubunginya melalui Facebook atau menemuinya pada hari berkenaan pada jam 9.30 pagi.
[Baca berita asal]

