Kumpulan anti-insinerator rancang berdemo
Kumpulan yang menentang rancangan kerajaan untuk membina insinerator di Taman Beringin, Kepong, merancang untuk mengadakan demonstrasi sekiranya Menteri Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Abdul Rahman Dahlan terus "mengabaikan" suara mereka.
Dalam satu kenyataan, Jawatankuasa Bertindak Kuala Lumpur Tak Nak Insinerator (KTI), berkata KTI telah banyak kali menghantar surat kepada kerajaan untuk mengadakan dialog dengan penduduk tempatan tetapi tidak pernah mendapat sebarang jawapan.
Ahli jawatankuasa pemandu KTI, Lai Yak Guan berkata, menteri berkenaan telah banyak kali mengatakan sesetengah pihak menakutkan rakyat terhadap loji pembakaran dengan maklumat yang tidak tepat.
Beliau meminta, secara adil, menteri berkenaan harus menunjukan toleransi dengan menerima permintaan KTI, untuk mengadakan forum awam, supaya rakyat dapat menentukan pihak mana yang memberi maklumat yang mengelirukan mereka.
Lai berkata, KTI sedang mengadakan perbincangan dengan Gabungan Anti Insinerator Kebangsaan (GAIK) tentang kemungkinan bekerjasama mengadakan demonstrasi tersebut.
Katanya, KTI juga sedang mendapatkan sokongan daripada pertubuhan antarabangsa.
KTI telah bertemu dengan Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Hak Terhadap Kesihatan, Dainius PĹŤras, dan beberapa ahli jawatankuasa itu dalam perjalanan ke Filipina untuk bertemu pegawai tempatan Global Anti-Insinerator Alliance (GAIA).
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.