Seorang ADUN PKR menggesa kerajaan negeri Johor yang dikuasai BN supaya mencontohi kerajaan Pakatan Selangor yang memperuntukkan RM200,000 kepada wakil rakyat pembangkang untuk membangunkan kawasan masing-masing.
 
Dalam satu kenyataan hari ini, ADUN Bukit Batu, Jimmy Puah berkata PKR Johor berharap kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar Datuk Seri Khaled Nordin, juga akan menyediakan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.
 
"Buat masa kini, kerajaan negeri Johor tidak memberi sebarang 
peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang dan kesemua wakil rakyat tersebut dikehendaki membuat permohonan terus kepada pejabat Menteri Besar untuk peruntukkan khusus.
 
"Dukacita, dimaklumkan setakat hari ini kesemua permohonan saya tidak pernah sekali pun dijawap oleh pejabat Menteri Besar Johor," katanya.
 
Puah berkata selain Selangor yang memperuntukkan RM200,000 setahun, kerajaan Pulau Pinang memberi RM40,000 kepada rakyat wakil pembangkang.
 
Oleh itu, katanya, kerajaan negeri di bawah Khaled boleh mencontohi kedua-dua kerajaan di bawah pentadbiran Pakatan dan juga memberi peruntukan yang sewajarnya kepada wakil rakyat pembangkang di Johor.
 
"Tindakan kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang adalah adil dan memberi makna sebenar kepada prinsip demokrasi di mana kerajaan patut menghormati pemilihan yang dibuat oleh pengundi dan tidak memprejudiskan hak mereka semata-mata kerana mereka memilih pihak yang tidak menubuhkan kerajaan.
 
"Setiap anak Johor patut diberi layanan yang sama dan wajar menikmati manfaat hasil pembangunan Johor tidak kira sama ada mereka tinggal di kawasan BN atau Pakatan," katanya.
 
Menurut Jimmy, rakyat yang tinggal di kawasan pembangkang tidak patut dianak tirikan oleh kerajaan.
 
Hari ini, ADUN pembangkang Selangor menolak peruntukan tersebut, dengan mendakwa bahawa ia satu penghinaan kerana wakil Pakatan diperuntukkan RM700,000.

[Baca berita penuh/asal]