Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan bahawa keputusannya untuk mengekalkan Akta Hasutan tidak akan menjamin kemenangan BN dalam pilihan raya umum ke-14.

"Perlindungan pada BN tidak datang daripada Akta Hasutan,” katanya dalam ucapan semasa merasmikan konvensyen parti PPP di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

“Akta Hasutan tidak memastikan BN dipilih semula dalam pilihan raya umum ke-14. Ia hanya boleh diraih melalui kemahuan dan sokongan rakyat,” katanya.

Pengumuman Najib pada hari Khamis lalu bertentangan dengan janjinya, dua tahun lalu untuk menggantikan Akta Hasutan.

Para pemerhati melihat tindakan itu dibuat ekoran tekanan dari akar umbi Umno bagi memastikan kedudukan parti tersebut dalam pilihan raya umum akan datang.

[Baca berita penuh]

Sementara itu laporan Bernama menyebut, Najib berkata langkah untuk mengekalkan akta itu dibuat bagi melindungi sensitiviti semua rakyat Malaysia.

Katanya lagi, tidak ada motif tersembunyi di sebalik usaha itu.

Beliau berkata usaha mengekalkan akta itu bukan tentang melindungi hak-hak orang Islam dan Melayu sahaja tetapi juga bagi orang bukan Islam dan masyarakat bukan Melayu.

"Saya ingin menjelaskan bahawa perbuatan itu adalah satu perlindungan untuk semua rakyat Malaysia, ia adalah satu bentuk perlindungan bagi kontrak sosial kita yang begitu dihargai yang terkandung dalam perlembagaan kita.

"Kita perlu memastikan bahawa penguatkuasaan Akta Hasutan perlu dilihat sebagai adil," katanya.