Satu dokumentari yang merakam kontroversi mengenai empangan mega di Sarawak mula disiarkan di Internet melalui saluran KiniTV hari ini.

‘Damming Our Future’ merupakan filem pertama dalam siri dokumentari mengenai cadangan empangan mega, yang didakwa akan menyebabkan warga pribumi tersesar dan menjejaskan spesis flora dan fauna.

Menurut NGO antarabangsa Borneo Project, dokumentari itu akan antara lainnya akan mendedahkan fakta di sebalik projek berkenaan dan menyalurkan keluhan masyarakat yang terancam dengan empangan itu.

“Ia turut mendokumenkan kesusahan masyarakat yang terpaksa meninggalkan rumah mereka,” kata pengarah Borneo Project, Jettie Word.

Pelancaran siaran itu juga dijalankan sempena sambutan ulangtahun sekatan ke atas empangan Baram, bagi menghalang pemaju, Sarawak Energy Bhd (SEB) daripada memasuki kawasan pembinaan sejak Oct 2013.

Empangan Baram akan menenggelamkan 26 kampung dan mensesarkan antara 6,000 hingga 20,000 orang, namun SEB berjanji bahawa masyarakat tersebut akan dipindahkan dan diberi pampasan.

“Apa akan jadi jika masyarakat kelas pertengahan di Kuala Lumpur terpaksa dipindahkan? Adakah hak ke atas rumah dan masyarakat mereka akan dihormati,” soal Word,

Dua lagi filem dalam siri itu yang memfokuskan pada dakwaan rasuah dan pemindahan secara paksa akan disiarkan awal tahun depan.

Kesemua filem itu juga akan dapat ditonton melalui KiniTV.

[Baca berita penuh/asal]