Jabatan Pendidikan Sabah tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana guru yang cuba menimbulkan isu perkauman, sentimen keagamaan dan kewilayahan di negeri ini kata Pengarahnya Datuk Jame Alip.
 
Beliau berkata tindakan tegas akan dikenakan kepada guru yang melakukan perbuatan itu untuk keadilan dan kebaikan semua pihak.
 
"Guru yang berada di negeri ini tidak kira wilayah, bangsa dan agama perlu berfikir dan bertindak secara lebih halus, teliti dan berhemah.
 
Jangan timbulkan kontroversi, jangan cuba meruntuhkan dan meranapkan keharmonian kaum, bangsa, agama dan wilayah di negara ini terutamanya di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas Konvensyen Pendidikan Kenegaraan Peringkat Daerah Tawau di sini, hari ini.
 
Beliau berkata guru perlu menjalankan tanggungjawab sebagai pendidik dan boleh memainkan peranan untuk meredakan sebarang isu dan mengelakkan pertelingkahan.
 
Mengulas mengenai isu pemakaian simbol agama, Jame menegaskan bahawa pihak sekolah tidak pernah melarang sebarang bentuk simbol agama digunakan asal tidak bersifat menonjol sehingga menimbulkan isu lain.
 
"Pihak kami tidak pernah melarang pemakaian sebarang bentuk simbol agama. Namun ia perlulah sesuai dan tidak menimbulkan sebarang masalah," katanya.
 
- Bernama