Pengarah filem Liew Seng Tat menangkis dakwaan bahawa filem arahannya 'Lelaki Harapan Dunia' menyindir bangsa Melayu sebagai golongan yang taksub dengan perkara tahyul dan terlibat dengan rasuah.

 

Katanya, isu politik yang diolah dalam filem berkenaan merupakan masalah universal dan bukan hanya berlaku dalam alam Melayu.

 

"Saya tidak cuma fokus pada bangsa Melayu, ia mengenai masyarakat dan (isu di antara) kita sesama manusia.

 

"Politik ada berlaku di mana-mana, sejak dulu lagi dan tak perlu pergi jauh. Dalam masyarakat kita juga ada, bahkan dalam keluarga kita sendiri juga ada politiknya tersendiri," katanya.

 

Liew turut menafikan bahawa isu penyembelihan korban digambarkan dalam filem tersebut untuk menyindir agama Islam.

Adegan sembelih unta

Beliau mengulas kritikan dari penggiat filem, Khir Rahman yang membangkitkan mengenai babak penyembelihan korban unta dalam filem tersebut.

Khir dalam satu tulisan di Facebook berkata, beliau melihat adegan tersebut menggambarkan seksaan ke atas haiwan semasa disembelih sehingga darahnya tersembur.

"Barangkali ini tanggapan mereka terhadap Melayu. Saya tak boleh apabila agama Islam disindir sama apabila seekor unta dilihat sebagai seksaan kepada haiwan.

"Malah darahnya terpercik dan terpancut kuat dan tinggi ke arah orang Melayu yang hadir untuk menyaksikan acara tersebut,” kata Khir dalam tulisannya, Isnin lalu.

Mengulas perkara itu, Liew menafikan bahawa babak itu bertujuan untuk menyindir agama Islam.

Tambahnya, kajian beliau menunjukkan bahawa darah binatang korban yang disembelih sememangnya akan tersembur sebegitu.

Babak filemnya itu menunjukkan hadirin terpaksa melindungi diri mereka daripada semburan darah itu dengan menggunakan payung.

"Kalau pergi lihat acara korban, ikut kajian memang ada darah pancut, kalau tak pakai payung akan kena baju dan muka orang.

 

"Payung hanya sebahagian daripada cerita ini, saya boleh tunjuk kajian yang saya sudah lihat mengenai darah yang terpancut itu,” ujarnya.

 

Ketika ditanya, pemuda yang dibesarkan di Jinjang, Selangor itu berkata beliau percaya kritikan itu bukannya timbul semata-mata kerana beliau berketurunan Cina.

 

"Saya tak percaya (kritikan kerana berketurunan Cina), tetapi ada yang kata sebab saya berbangsa Cina,” katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini.

Tiada kontroversi

 

Beliau turut membandingkan 'Lelaki Harapan Dunia' dengan karya pengarah filem jenaka popular, Mamat Khalid, yang juga sering mengutarakan kritikan sosial dalam filemnya.

 

Mamat Khalid popular dengan filem seperti 'Hantu Kak Limah Balik Rumah' dan 'Zombie Kampung Pisang' yang antara lainnya mengetengahkan kritikan ke atas ketaksuban masyarakat dengan hantu.

 

"Kalau kamu baca komen di luar sana kata filem Mamat Khalid juga ada sentuh beberapa isu tapi dia tidak kena serang. Adakah (saya diserang) kerana saya Cina?," katanya yang percaya kritikan ke atas filemnya itu bukan kerana faktor keturunannya.

 

Liew juga mengulas mengenai penampilan aktivis politik, Hishamuddin Rais dalam filem tersebut dengan watak seorang bomoh yang mengusahakan perniagaan tangkal azimat

 

Katanya, Hishamuddin sememangnya seorang penggiat filem dan tidak membawa sebarang agenda politik ke dalam watak tersebut.

 

"Filem ini tak ada kontroversi langsung. Mungkin dua, tiga orang yang kata kontroversi, 85 peratus (berfikiran sebaliknya),” katanya lagi yang pernah menghasilkan filem drama Flower In The Pocket.

Filem yang turut dihasilkan dengan bantuan geran industri kreatif berjumlah RM1.2 juta itu mula ditayangkan pada 27 November.