Thailand melangkah ke final Kejohanan Badminton Piala Axiata 2014 selepas mengalahkan pasukan Bintang Asia 3-0 pada saingan separuh akhir di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras, di Kuala Lumpur, malam tadi.

Thailand menempah slot final dengan mata agregat 6-3 berdasarkan set kemenangan untuk bertemu Indonesia pada final pukul 7 malam esok.

Sebelum itu, Indonesia mengalahkan juara bertahan Malaysia dengan mata agregat 6-4 pada satu lagi saingan separuh akhir.

Malaysia akan menentang Bintang Asia pada penentuan tempat ketiga pada pukul 3 petang ini.

Dalam pada itu, pemain perseorangan lelaki Tanongsak Saesomboonsuk menghadiahkan mata pertama Thailand dengan mengalahkan pemain Hong Kong, Hu Yun 21-14, 15-21 dan 21-16.

Kejayaan itu dikuti pemain perseorangan wanita Ratchanok Intanon yang menewaskan pemain Taiwan, Tai Tzu Ying 24-22, 20-22 dan 21-18.

Beregu lelaki Maneepoong Jongjit dan Nipitphon Puanggpuapech mengesahkan tempat Thailand di pentas akhir apabila mengalahkan beregu India, Mnu Attri dan Sumeeth Reddy dengan keputusan 15-21, 21-12 dan 21-16.

- Bernama