PAS memandang berat berhubung penghakiman seorang hakim mahkamah tinggi yang mendakwa seorang peguam kanan melakukan perbuatan yang ditafsir cuba mempengaruhi hakim.

Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, kenyataan itu perlu dipandang serius kerana ia menyentuh kewibawaan sistem kehakiman dan integriti pengamal undang-undang di negara ini.

Apatah lagi, kata Mahfuz, peguam kanan itu juga calon yang dipertimbang dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi dan berpotensi mendaki hierarki sistem kehakiman hingga ke Mahkamah Persekutuan.

Justeru, Mahfuz dalam kenyataannya hari ini mahukan beberapa badan berkaitan, termasuk Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Majlis Peguam bertindak mengikut bidang kuasa masing-masing.

Beliau menyarankan Majlis Peguam merujuk perkara itu kepada Lembaga Tatatertib Peguam bagi membolehkan peguam terbabit disiasat dan diambil tindakan.

PAS juga menggesa Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman menggantung dan menangguhkan serta merta sebarang proses pelantikan atau penilaian ke atas peguam itu untuk dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi.

Malay Mail Online , portal yang mula-mula melaporkan perkara itu turut menyebut bahawa peguam terbabit menafikan dakwaan itu dan akan mengambil tindakan undang-undang.

“Saya akan ambil tindakan undang-undang padanya dan pemberita itu,” katanya seperti dilaporkan portal itu.