Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KP JASA, Datuk Fuad Hassan meninggal dunia
Diterbitkan:  Dec 8, 2014 7:30 AM
Dikemaskini: Dec 8, 2014 11:28 AM

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Fuad Hassan meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) tengah malam tadi akibat serangan sakit jantung.  Beliau berusia 62 tahun. 
 
Fuad menghembus nafas terakhir kita-kira jam 12.20 tengah malam tadi di sisi ahli keluarganya setelah tidak sedarkan diri sejak dimasukkan ke hospital berkenaan awal pagi semalam.
 
Allahyarham sebelum itu diserang sakit jantung semasa menghadiri majlis penutup sempena Program Pemukiman Transformasi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di Awana Kijal, Kemaman, Terengganu 11.15 malam semalam.
 
Adik Allahyarham, Datuk Jalaluddin Hassan berkata beliau menerima berita mengenai kejadian yang menimpa abangnya itu tengah malam kelmarin sebelum bertolak ke Kuantan pagi semalam bersama adik beradiknya yang lain.
 
"Saya bersama adik beradik yang lain sampai ke hospital pagi jam 9 pagi dan semasa itu Abg Ngah ketika itu masih dalam keadan tidak sedarkan diri namun dalam keadaan stabil.
 
"Bagaimanapun keadaannya mula kritikal petang semalam dengan mengalami tekanan darah rendah dan kegagalan fungsi buah pinggang sebelum menghembus nafas yang terakhir tengah malam tadi," kata pelakon terkenal itu.
 
Katanya jenazah abangnya itu akan dimandi dan disembayangkan di surau Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan sebelum dibawa ke rumahnya di No.52, Jalan 4M, Ampang Jaya, Selangor.
 
Adik Allahyarham ialah bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
 
Allahyarham, pernah memegang pelbagai jawatan dalam Pemuda Umno Selangor dan Pemuda Umno Malaysia serta merupakan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang (BN) selama dua penggal dari 1990-1999.
 
Allahyarham dilantik ke jawatan ketua pengarah JASA pada 2009.
 
Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Taman Bukit Teratai, Ampang, selepas zohor hari ini.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) menyedekahkan surah Al-Fatihah kepada Allahyarham.
 
Perdana menteri memaklumkan kematian Allahyarham itu sebelum menyampaikan amanat beliau kepada warga JPM di Perhimpunan JPM di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya hari ini, yang merupakan perhimpunan terakhir bagi 2014.
 
"Marilah kita sedekahkan Al-Fatihah semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman," katanya. 

 
- Bernama
Lihat Komen
ADS