Zahid percaya Alvin, Ali akan balik juga
Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi yakin bahawa penulis blog kontroversi Alvin Tan dan aktivis Ali Abdul Jalil yang kini berada di luar negara akan balik ke Malaysia suatu hari nanti.
Katanya, “sejauh-jauh bangau terbang, akan balik ke belakang kerbau”.
“Saya ada seorang kawan yang menjadi pemimpin mahasiswa pada tahun 1974, apabila dia lari ke luar negara dan selepas 20 tahun berada di luar negara, akhirnya dia memohon pada perdana menteri pada ketika itu yang menjadi menteri dalam negeri untuk balik ke negara kita.
“Orang itu masih aktif lagi, tapi kita tak payah sebut namanya,” kata Ahmad Zahid dalam satu sidang media di kementeriannya hari ini.
“Yang British oversea citizen, bila koyakkan passport itu, mereka duduk di UK, akhirnya nak balik ke negara kita. Mereka jumpa saya dan menyesal kerana mengoyakkan pasport.
“Tetapi tindakan saya mengikut peraturan, mereka tidak boleh terus menjadi warganegara Malaysia, sebaliknya mereka mesti memohon untuk mendapat pas residen selama 10 tahun, lepas 10 tahun baru layak untuk memohon permit masuk atau penduduk tetap.
“Lepas itu, sekurang-kurangnya tujuh tahun penduduk tetap, baru layak untuk memohon semula sebagai warganegara. Ertinya seseorang itu memerlukan masa 17 tahun,” jelas menteri itu.
Zahid juga mencabar Alvin Tan, jikalau berani, patut balik ke Malaysia.
“Kalau dia berani dia patut balik, ertinya dia pengecut. Itu sebab dia tak pernah dapat ijazah, dia gagal dalam peperiksaan di universiti negara itulah,” katanya.
Zahid juga menjelaskan bahawa kerajaan tidak ada usaha untuk memohon ekstradisi terhadap Alvin Tan walaupun Malaysia ada perjanjian tersebut dengan Amerika Syarikat.

