Nampaknya, nasib terus tidak menyebelahi Tengku Razaleigh Hamzah kerana masih gagal memperolehi sebarang pencalonan untuk bertanding jawatan presiden Umno dalam pemilihan parti itu September ini.

Malah, selepas 64 bahagian Umno bersidang setakat ini, ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno itu juga tidak dicalonkan untuk sebarang jawatan dalam parti itu, termasuk kerusi MT.

Bahagian Bukit Bintang dan Ranau (Sabah) yang bermesyuarat semalam mencalonkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak untuk jawatan presiden dan timbalan presiden.

Dengan itu, Abdullah yang juga pemangku presiden Umno, sehingga ini menerima 64 pencalonan dan jumlah yang sama turut diperolehi Najib untuk jawatan timbalan presiden.

Bagi jawatan naib presiden, Bukit Bintang mencalonkan penyandangnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Manakala bahagian Ranau pula turut mencalonkan Muhyiddin dan Mohd Ali. Seorang lagi calon naib presiden yang dicalonkan oleh bahagian tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mustapa Mohamed.

Dengan itu, Muhyiddin yang juga penyandang jawatan tersebut mendahului dengan mendapat 58 pencalonan, diikuti oleh Mohd Ali (41). Manakala seorang lagi penyandang jawatan tersebut, Tan Sri Muhammad Muhd Taib menduduki tempat ketika dengan mendapat 34 pencalonan.

Layak

Manakala Mustapa yang juga pengerusi Umno Kelantan telah berjaya melepasi jumlah pencalonan (20) untuk layak bertanding jawatan naib presiden. Manakala Mohd Isa yang kini mengumpul 15 pencalonan masih memerlukan lima lagi untuk layak bertanding jawatan tersebut.

Setakat ini, 35 calon telah mendapat pencalonan mencukupi untuk bertanding kerusi MT, dengan didahului oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Dr Mohd Khir Toyo dan Menteri Penerangan, Datuk Paduka Abdul Aziz Fadzir yang masing-masing mendapat 46 undi.

Manakala enam lagi calon mendapat lebih 40 pencalonan iaitu Datuk Abdul Aziz Shamsudin (44), Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali (44), Datuk Ahmad Zahid Hamidi (43), Datuk Mohd Shafie Apdal (43) dan Datuk Seri Syed Razak Syed Zain (42), Datuk Khaled Nordin (41), Datuk Shafie Salleh (41) dan Datuk Seri Musa Aman (41).

Sementara itu, Pemuda Umno Keningau dan Batu Sapi yang turut bermesyuarat semalam telah mencalonkan Datuk Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin untuk jawatan ketua dan naib ketua Pemuda Umno. Dengan itu, Hisham kini memperolehi 135 pencalonan dan Khairy 125.

Sementara itu, Puteri Umno bahagian Putrajaya malam tadi mencalonkan Noraini Ahmad dan Azalinda Mohd Rashad masing-masing sebagai ketua dan naib ketua Puteri.

Manakala jawatan ketua Puteri bahagian berkenaan dimenangi tanpa bertanding oleh Hamizah Abdollah Zawawi dengan Sry Widiana Khairudin kekal sebagai naib ketua.

Persidangan perwakilan Pergerakan Pemuda dan Wanita Umno bahagian Putrajaya akan diadakan malam ini, diikuti persidangan perwakilan bahagian.

Selain Putrajaya, bahagian Tenom, Batu Sapi (kedua-duanya di Sabah) dan Pendang (Kedah) dijadualkan bermesyuarat hari ini.