Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Hukuman pada kontraktor tanjakan runtuh ringan'
Diterbitkan:  Dec 24, 2014 1:12 PM
Dikemaskini: 5:16 AM

MP Bayan Baru, Sim Tze Tzin berpendapat denda RM85,000 kepada kontraktor jambatan kedua Pulau Pinang yang bertanggungjawab membina tanjakan yang runtuh pada bulan Jun lalu adalah ringan.

Beliau menggesa agar hukuman lebih berat dijatuhkan kerana hukuman ini tidak akan berjaya mencegah kejadian serupa daripada berulang.

"Pihak pendakwa raya harus merayu ke Mahkamah Tinggi atas hukuman tersebut.

"Hukuman yang lebih berat adalah penting untuk memberi amaran kepada kontraktor agar melakukan kerja-kerja pembinaan secara serius," katanya dalam kenyataan.

Mahkamah Sesyen di Balik Pulau semalam mendenda wakil Cergas Murni Sdn Bhd sebanyak RM50,000 dan pengarah Giga Engineering & Construction Sdn Bhd sebanyak RM35,000.

Kedua-dua mereka mengaku bersalah gagal memastikan tahap keselamatan di tapak pembinaan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Keruntuhan tanjakan yang terletak di bawah kedua-dua syarikat itu mengakibatkan kehilangan satu nyawa dan empat orang cedera.

"Hukuman itu sangat ringan dan tidak memberi keadilan yang setimpal buat mangsa insiden Tajuddin Zainal Abidin yang kehilangan nyawa akibat insiden tersebut.

"Keluarga Tajuddin sekarang dalam keadaan susah akibat kehilangan suami dan bapa," kata Sim.

Beliau seterusnya menggesa pihak berkuasa agar menyahsulitkan laporan kemalangan itu.

"Lebih penting lagi, laporan ini akan menjadi kajian kes kepada industri pembinaan pada masa depan demi mengelakkan kemalangan yang sama daripada berulang," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS