Menteri Besar Datuk Ahmad Yaakob berkata banjir teruk yang melanda Kelantan tidak akan menggugat iltizam PAS negeri untuk mengadakan sidang dewan khas bagi meminda rang undang-undang hudud pada 29 Disember ini.

"Banjir ini adalah kejadian yang berlaku tiba-tiba. Namun, cadangan sidang dewan negeri ini adalah sebahagian daripada pentadbiran awam negeri.

"Walaupun ada banjir, kita masih perlu bekerja," katanya seperti dilaporkan harian Sin Chew Daily hari ini.

Sementara itu, Umno yang mutakhir ini menyokong rencana PAS untuk melaksanakan undang-undang itu di Kelantan berharap PAS tidak membuat pusingan-U pada saat akhir akibat desakan DAP dan PKR.

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Puad Zarkashi dilaporkan akhbar Sinar Harian sebagai berkata yang PAS perlu "teguh dengan pendirian mereka".

Pendirian itu kata Puad, perlu dipegang PAS walaupun parti komponen Pakatan Rakyat lain terus menentang pelaksanaan hudud di Kelantan.

Beliau turut berharap agar PAS tidak terus menangguhkan pelaksanaan undang-undang itu.

Akhbar sama turut melaporkan MP Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin sebagai menyokong usul itu.

Beliau berharap agar PAS tidak berganjak seinci pun daripada pendirian mereka.     

Kelantan akan mengadakan sidang dewan khas pada 29 Disember untuk membentangkan pindaan terhadap Rang Undang Kanun Jenayah Syariah (II) 1993.