Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru rakyat Malaysia supaya sekali lagi bersatu atas semangat keharmonian, penerimaan dan rasa hormat untuk menyambut Krismas esok.

Beliau berkata, rakyat Malaysia juga perlu merebut peluang untuk meraikan kepelbagaian yang menjadikan negara ini begitu luar biasa.

Sambil mengucapkan Selamat Menyambut Krismas dan Selamat Tahun Baharu kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Kristian, beliau berkata inilah masanya apabila keluarga dan rakan datang bersama untuk merenung kembali tahun yang dilimpahi kesyukuran dan berharap semoga tahun baharu membawa harapan dan muhibah.

"Di Malaysia, kita diberkati dengan rakyat daripada pelbagai etnik, bahasa dan kepercayaan agama yang hidup bersama-sama. 1Malaysia melambangkan perpaduan kolektif, menekankan keharmonian kaum, perpaduan nasional dan toleransi kaum," kata Najib dalam perutusannya bersempena sambutan Krismas 2014.

Perdana Menteri menarik perhatian bahawa perlembagaan Malaysia menjamin hak kepada semua rakyat Malaysia untuk mengamalkan agama mereka.

"Dan penyelesaian 10 perkara bagi menangani isu Bible dalam bahasa Melayu dan isu lain yang berkaitan - yang dipersetujui pada 2011, dan harus konsisten dengan undang-undang negeri - diperkenalkan sebagai cara untuk menangani kepelbagaian kita dan melindungi hak ini," kata beliau.

Najib berkata beliau gembira melihat keamanan dan keharmonian yang wujud sejak negara mencapai kemerdekaan.

"Tanpa mengira etnik, budaya atau agama, rakyat Malaysia menghormati perayaan agama satu sama lain atas semangat perpaduan," kata beliau.

- Bernama