Harapan terakhir Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) untuk mendapatkan pencalonan bagi melayakkan dirinya bertanding jawatan presiden Umno bergantung kepada 106 lagi bahagian Umno yang akan bermesyuarat esok dan Ahad ini.

Mesyuarat pada hujung minggu ini dianggap menarik kerana Ku Li disebut-sebut mungkin mendapat pencalonan daripada negeri-negeri tertentu di mana sebahagian besar bahagian Umno, akan bermesyuarat esok dan lusa.

Selain bahagian Gua Musang yang diterajui oleh Ku Li yang akan bermesyuarat esok, beberapa bahagian di Perak, Johor dan beberapa negeri lagi, disebut-sebut mungkin membuat kejutan dengan mencalonkan beliau bertanding jawatan presiden.

Beliau memerlukan 58 pencalonan untuk layak bertanding jawatan presiden September ini. Daripada 106 bahagian yang akan bermesyuarat esok dan lusa 19 daripadanya adalah Perak, Johor (17), Selangor (13), Kedah (12), Pahang (12), Kelantan (5) dan Terengganu (6).

Ini kerana, difahamkan, di negeri-negeri berikut terdapat ramai bekas ahli-ahli Semangat 46 yang merupakan penyokong setia Ku Li yang telah kembali semula menyertai Umno selepas parti itu dibubarkan pada 1996.

Sehingga hari ini, 71 bahagian sudah bermesyuarat tetapi Ku Li gagal mendapat sebarang pencalonan. Kesemuanya mencalonkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak untuk jawatan presiden dan timbalan presiden.

Bahagian tersebut ialah Sabah (11), Wilayah Persekutuan (10), Johor (9), Selangor (9), Pulau Pinang (6), Perak (5), Kelantan (5), Melaka (5), Negeri Sembilan (5), Kedah (3), Pahang (2) dan Terengganu.

Meraih sokongan

Difahamkan kesemua 71 bahagian yang selesai bermesyuarat tersebut diterajui oleh penyokong setia Abdullah dan Najib dan Ku Li tidak mempunyai peluang untuk meraih sokongan dari mereka.

Terdapat 26 bahagian in Johor, Sabah (25), Perak (24), Selangor (22), Kedah (15), Kelantan (14), Pahang (14), Pulau Pinang (13), Wilayah Persekutuan (13), Negeri Sembilan (8), Terengganu (8), Melaka (6), dan Perlis (3)

Selain Gua Musang, 41 bahagian akan bermesyuarat esok termasuk bahagian Kemaman yang diterajui oleh bekas pembantu khas Ku Li, Ahmad Shabery Chik. Beliau juga merupakan Ahli Parlimen Kemaman.

Manakala 65 lagi bahagian akan mengadakan mesyuarat masing-masing Ahad ini.

Selepas esok dan lusa kesemua 24 bahagian di Perak (kecuali Teluk Intan dan Taiping), selesai bermesyuarat, begitu juga kesemua 26 bahagian di Johor, 22 di Selangor, 15 di Kedah.

Manakala tiga daripada 14 bahagian di Kelantan belum ditetapkan tarikhnya iaitu Tanah Merah, Kubang Krian dan Rantau Panjang. Di Terengganu, hanya bahagian Kuala Terengganu belum ditetapkan tarikh mesyuaratnya.

Sementara bahagian-bahagian lain yang akan bermesyuarat esok dan luas ialah tiga bahagian di Wilayah Persekutuan, enam di Pulau Pinang dan dua di Negeri Sembilan, kesemua tiga bahagian di Perlis, sembilan di Sabah dan satu di Melaka.

Baki empat lagi bahagian di Sabah Beluran, Keningau, Kudat dan Sandakan - akan berlangsung pada empat hari terakhir sehingga 22 Julai ini. Manakala bahagian terakhir di Negeri Sembilan Seremban akan bermesyuarat Isnin ini manakala bahagian Ketereh di Kelantan pada 22 Julai ini.

Pencalonan meningkat

Majlis Tertinggi Umno sebelum ini telah memutuskan supaya mesyuarat perwakilan Umno bahagian Permatang Pauh di Pulau Pinang ditangguhkan sehingga tarikh yang akan ditentukan kelak.

Sehingga semalam, Abdullah dan Najib masing-masing mendapat 66 pencalonan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden. Keputusan bagi lima lagi bahagian akan belum diketahui.

Bagi jawatan naib presiden pula, penyandang Tan Sri Muhyiddin Yassin kini memperolehi 60 pencalonan, diikuti oleh Datuk Seri Mohd Ali Rustam (45), Tan Sri Muhammad Muhd Taib (36). Turut layak bertanding jawatan tersebut ialah Datuk Mustapa Mohamed yang mendapat 21 pencalonan selepas melepasi 20 pencalonan minimum.

Pencalonan bagi Datuk Seri Rafidah Aziz juga meningkatkan kepada 127 pencalonan manakala pencabarnya Datuk Dr Siti Zaharah Sulaiman masih lagi lima pencalonan. Pencalonan bagi Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil juga meningkat kepada 132 untuk jawatan naib Ketua Wanita.

Bagi Pemuda Umno pula, Datuk Hishammuddin Hussein kini memperolehi 136 pencalonan, Manala pencalonan bagi menantu perdana menteri, Khairy Jamaluddin bagi jawatan naib Ketua turut meningkat kepada 127.

Pesaing terdekatnya Datuk Mukhriz Mahathir baru memperolehi enam pencalonan. Beliau memerlukan 23 lagi pencalonan untuk layak bertanding jawatan naib Ketua Pemuda.

Bagi Puteri Umno, pencalonan bagi jawatan ketua Puteri ialah 115 bagi Noraini Ahmad, 28 untuk Suraya Yaacob dan satu pencalonan kepada Sarah Ali Bashah.

Rosnah Abdul Rashid Sherlin masih mendahului dengan 74 pencalonan bagi jawatan naib Ketua Puteri, diikuti oleh Bib Sharliza Mohd Khalid (31), Azlinda Mohd Rashad (19), Shahaniza Shamsuddin (18), Suraya Yaacob (1) dan Nori Abdullah (1).

Calon-calon Puteri Umno hanya memerlukan dua pencalonan bagi melayakkan diri bertanding sebarang jawatan dalam pergerakan tersebut.