Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menyebut, lebih daripada satu pertiga penduduk di Kelantan masih tidak mendapat bekalan air bersih kerana separuh daripada kesemua 32 loji rawatan air masih belum dapat berfungsi.

“Dari segi bilangan akaun pengguna, sejumlah 91,100 akaun pengguna dari jumlah besar 223,300 akaun di negeri Kelantan masih belum mendapat bekalan air melalui paip,” kenyataan SPAN dipetik.

Menurut suruhanjaya itu, terdapat pencawang elektrik Tenaga Nasional Bhd (TNB) masih belum dapat dimasuki, yang melewatkan lagi usaha membaik pulih loji.

Setakat ini, sejumlah 16 daripada 31 loji rawatan airnya masih belum dapat berfungsi, berbanding 24 buah yang tidak berfungsi beberapa hari lalu.

“Beberapa loji rawatan air kini sedang beroperasi mengunakan set jana kuasa bergerak TNB,” kata SPAN.

Sementara itu di Pahang, seramai 37,600 pengguna daripada keseluruhan 378,800 pengguna masih belum mendapat bekalan air bersih.

"Selaku operator air di negeri Pahang, Pengurusan Air Pahang Bhd (PAIP) menyediakan 30 buah lori tangki dan tangki-tangki statik untuk menghantar bantuan air ke hospital serta pusat pemindahan sementara."