Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek setuju dengan saranan agar satu debat terbuka diadakan antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan peguam Eric Paulsen.

Beliau berkata, ia dapat memberi peluang kepada peguam itu menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan kenyataannya sebelum ini yang mendakwa Jakim mempromosikan ektremisme.

"Saya setuju kalau Jakim bersetuju untuk berbahas supaya Eric datang ke mana-mana stesen televisyen dan beritahu apa yang dimaksudkan dengan kenyataan beliau yang Jakim galakkan keganasan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan logo baru Pos Malaysia di ibu negara hari ini.

Selain itu, Shabery yang juga Ahli Parlimen Kemaman berkata, teks khutbah dari pihak Jakim merupakan yang paling terkawal.

Malah, katanya, Jakim juga merupakan badan agama  yang menentang ektremisme.

Sehubungan itu Shabery berkata, dalam era kebebasan bersuara adalah penting bagi seseorang untuk memberi penjelasan terhadap sesuatu perkara yang dikatakan.

"Khutbah yang mana dia kata (ektrem) setiap Jumaat. Sedangkan khutbah Jakim yang paling terkawal.

"Dalam era kebebasan bersuara dan kebebasan untuk berekspresi, ia bukan hanya sekadar ungkapan satu perkataan tetapi perlu menjelaskan atau membahaskan supaya orang lebih faham," katanya lagi. 

Jumaat lalu  Paulsen menulis di laman Twitternya yang berbunyi:

“Jakim is promoting extremism every Friday. Goverment needs to adress that if serius about extremism in Malaysia."

(Jakim mempromosi ekstremisme setiap Jumaat. Kerajaan perlu menanganinya jika serius mengenai ekstremisme di Malaysia.)

Bagaimanapun, tweet tersebut kemudiannya dipadam. 

Paulsen kemudian ditangkap pada Isnin dan dibebaskan dengan jaminan polis selepas dua hari dan disiasat bawah Akta Hasutan 1948.

Lihat Komen
ADS