Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang menepis laporan berhubung ketegangan yang didakwa semakin meningkat antara menteri PH dan BN, khususnya Umno yang dikatakan menjadi punca mesyuarat kabinet baru-baru ini berlangsung lebih singkat.

Menteri sains, teknologi dan inovasi itu memberitahu pemberita bahawa tiada sebarang perubahan dalam hubungan antara parti-parti berkenaan, mahupun berlaku sebarang 'pergolakan'.

"Tiada apa-apa (berubah) setakat ini. Semua menteri Umno hadir dalam mesyuarat kabinet minggu lepas, dan kami membincangkan isu-isu negara secara serius.

"Kami tidak bincang mengenai politik semasa mesyuarat kabinet. Ini kerana isu politik adalah perkara berkaitan parti.

"Tiada pergolakan," kata Chang apabila ditemui selepas melancarkan Peringkat Akhir NSC 2026 Piala Pusingan YAB Perdana Menteri di Institut Kesihatan Negara, di Shah Alam hari ini.

Isu jemputan perhimpunan agung Umno?

Anggota Parlimen Tanjung Malim itu diminta mengulas kenyataan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu tidak akan menjemput PH ke perhimpunan agung tahunannya yang berlangsung hujung minggu ini.

Apabila didesak mengenai perkara tersebut, Chang berkata dia tidak pasti mengenai isu jemputan itu dan perlu menyemaknya dengan setiausaha agung PH.

Mesyuarat kabinet, gambar hiasan

Dua hari lepas, Bloomberg melaporkan dengan memetik sumber tidak dinamakan, bahawa pergeseran antara Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan Zahid, yang juga timbalannya, mencapai tahap baharu sehingga menyebabkan mesyuarat kabinet berlangsung lebih singkat.

Sumber terbabit mengaitkan ketegangan itu sebahagiannya dengan keputusan Zahid untuk memimpin BN bertanding menentang rakan sekutunya dalam kerajaan persekutuan, iaitu PH, pada pilihan raya negeri Johor dan Negeri Sembilan.

Zahid sejak itu menafikan laporan bahawa hubungannya dengan Anwar semakin tegang.

Walaupun Utusan Malaysia melaporkan awal hari ini bahawa Umno tidak akan menjemput PH ke perhimpunan agung parti itu, Zahid dipetik sebagai berkata bahawa PAS akan dijemput bagi membalas jemputan parti Islam itu kepada Umno ke muktamar PAS minggu lalu.