Kedudukan kedua-dua penyandang jawatan naib presiden Umno mungkin terjejas kerana majoriti Umno bahagian dipercayai lebih cenderung untuk "memudakan" semula Umno dengan memilih calon-calon yang lebih muda untuk menerajui parti menghadapi cabaran akan datang.

Kedua-dua penyandang tersebut ialah Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Bagaimanapun, tumpuan para perwakilan kini tertumpu kepada gandingan Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Datuk Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Adnan Yaakob.

Menurut sumber-sumber yang mengikut perkembangan pemilihan parti itu, ramai yang merasakan pemilihan kali merupakan peluang terbaik untuk mereka "memudakan" semula Umno.

"Kali ini mereka kemungkinan besar akan mengenepikan emosi dengan membuat pemilihan pucuk pimpinan Umno berdasarkan kepada realiti politik semasa.

"Ini mungkin menjelaskan mengapa bahagian-bahagian begitu ghairah mencalonkan sehingga lapan orang untuk bertanding jawatan naib presiden. Malah dari Johor sahaja terdapat tiga calon yang layak bertanding," tambahnya.

Tiga calon dari Johor tersebut ialah Muhyiddin, Datuk Seri Syed Hamid Albar dan Datuk Shahrir Samad.

Pengaruh sendiri

"Jika ahli-ahli Umno berpuashati dengan prestasi Tan Sri Muhyiddin dan Tan Sri Muhd Taib, mengapa begitu ramai dicalonkan untuk jawatan tersebut kali ini....tentu ada sebabnya," tegasnya.

Ditanya mengapa gandingan Mohd Ali, Mustapa dan Adnan dijangka menjadi pilihan para perwakilan, sumber-sumber itu berkata: "Mereka dilihat lebih mampu berdiri atas kemampuan dan pengaruh sendiri.

"Datuk Seri Mohd Ali dan Datuk Mustapa dilihat mempunyai sokongan kuat di peringkat akar umbi dan kedua-duanya tidak terlalu bergantung kepada sokongan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak."

Mengenai Adnan pula, sumber-sumber itu berkata, Menteri Besar Pahang itu juga mempunyai pengaruh dalam Umno walaupun sebelum ini ianya tidak begitu ketara.

Selepas selesai mesyuarat Umno bulan lalu, Muhyiddin mendapat 159 pencalonan, Mohd Ali (119), Muhd Taib (88), Mustapa (66), Tan Sri Mohd Isa Samad (37), Adnan (35), Datuk Shahrir Samad (25).

Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar pula mendapat 22 pencalonan tetapi telah mengumumkan tidak akan bertanding jawatan naib presiden kerana mahu menumpukan kepada kerusi Majlis Tertinggi.

Buat masa ini kempen yang dijalankan wakil-wakil calon tertumpu kepada para perwakilan yang terdiri daripada ketua, timbalan dan naib ketua bahagian, ketua Pemuda, Wanita dan Puteri bahagian.

Jawatan parti

Mereka terpilih secara automatik menjadi perwakilan yang akan mengundi semasa pemilihan parti September ini berasaskan kepada jawatan-jawatan yang mereka sandang tersebut.

Manakala tujuh orang lagi dipilih semasa mesyuarat bahagian sebagai perwakilan ke perhimpunan agung Umno September ini.

Menurut sumber-sumber itu lagi, Mohd Ali, Mustapa dan Adnan akan mendapat sokongan padu daripada para perwakilan, termasuk penyokong kuat Najib bagi memenangi ketiga-tiga jawatan naib presiden tersebut.

Katanya, dengan 'berselindung' di sebalik usaha untuk 'memudakan' semula Umno, pada masa yang sama, penyokong-penyokong Najib dapat mengetepikan Muhyiddin yang dianggap sebagai 'pencabar' terdekat Najib pada masa akan datang.

"Ada pihak yang berpendapat, tanpa memegang jawatan tinggi parti, kedudukan Tan Sri Muhyiddin tidak lagi dianggap akan menggugatkan Datuk Seri Najib pada masa depan," katanya.

Sebelum ini, Muhyiddin yang juga merupakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, disebut-sebut bakal dilantik oleh Abdullah sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, selepas tiga bulan mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad, Abdullah telah melantik Najib ke jawatan tersebut.