MT dan Naib Presiden: Menteri Besar lwn Menteri Kabinet
Berikutan tiada pertandingan bagi jawatan tertinggi Umno dalam pemilihan parti bulan depan, perhatian kini tertumpu kepada persaingan antara Menteri Besar dan Menteri Kabinet untuk merebut jawatan Naib Presiden dan kerusi Majlis Tertinggi (MT).
Berikutan tiada pertandingan bagi jawatan tertinggi Umno dalam pemilihan parti bulan depan, perhatian kini tertumpu kepada persaingan antara Menteri Besar dan Menteri Kabinet untuk merebut jawatan Naib Presiden dan kerusi Majlis Tertinggi (MT).
Perebutan bagi jawatan tertinggi dalam Puteri Umno berakhir malam tadi, selepas beberapa calon bersetuju menarik diri bagi membolehkan jawatan ketua dan naib ketua pergerakan itu tidak pertandingkan.
Kompromi ini dicapai dalam mesyuarat khas Puteri Umno yang dipengerusikan oleh ketuanya, Datuk Azalina Othman Said di Kuala Lumpur malam tadi.
Sebelum ini, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak masing-masing memenangi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno tanpa bertanding selepas selesai mesyuarat Umno bahagian bulan lalu.
Ahli MT Tengku Razaleigh Hamzah yang menawar diri bertanding jawatan Presiden bagaimanapun hanya memperolehi satu pencalonan daripada Umno Gua Musang yang dipimpinnya.
Manakala Datuk Seri Rafidah Aziz pula menang tanpa bertanding jawatan Ketua Wanita, selepas pencabarnya, Datuk Dr Siti Zaharah Sulaiman gagal mendapat cukup pencalonan bagi melayakkannya bertanding jawatan tersebut.
Datuk Shahrizat Abdul Jalil juga berjaya mengekalkan jawatannya sebagai Naib Ketua Wanita juga tanpa bertanding.
Khairy sebagai naib
Begitu juga dengan pergerakan Pemuda Umno Malaysia di mana Datuk Hishammuddin Hussein kekal tanpa dicabar bagi jawatan ketua pergerakan itu, manakala menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin juga menang tanpa bertanding bagi jawatan Naib Ketua Pemuda.
Berikutan itu, tumpuan pemilihan Umno bulan depan ialah kepada pertandingan bagi jawatan Naib Presiden di mana Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib akan berdepan dengan lima lagi pencabar, termasuk dua menteri besar dan dua menteri kabinet.
Pencabar mereka ialah Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mustapa Mohamed, Ahli Parlimen Johor Baru Datuk Shahrir Samad, Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Isa Samad dan Menteri Besar Pahang, Datuk Adnan Yaakob.
Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar, walaupun memperolehi pencalonan mencukupi, untuk bertanding jawatan tersebut, tetapi menarik diri kerana mahu menumpukan kepada perebutan kerusi MT.
Pemilihan bagi 25 kerusi MT juga dijangka menarik yang bakal menyaksikan persaingan hebat di antara calon-calon dari kalangan menteri besar dan menteri dan timbalan menteri, yang sehingga kini mendahului senarai 30 calon yang mendapat pencalonan tertinggi dari bahagian-bahagian Umno.
Lima menteri besar dan lima menteri kabinet menduduki tangga 10 tertinggi. Mereka ialah Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo (Selangor), Datuk Seri Syed Razak Syed Zin (Kedah), Datuk Musa Aman (Sabah), Datuk Seri Mohamad Tajol Rosli Ghazali (Perak) dan Datuk Muhammad Hassan (Negeri Sembilan).
Di kalangan menteri dan timbalan menteri pula ialah Datuk Aziz Shamsudin, Datuk Mohamed Khalid Nordin, Datuk Abdul Khadir Sheikh Fadzir, Datuk Shafie Afdal, Datuk Zahid Hamidi.
Yang lainnya ialah Datuk Shafie Salleh, Datuk Azalina Othman Said, Datuk Shahrizat Abdul Jalil, Datuk Awang Adek Husin, Datuk Noh Omar, Datuk Jamaluddin Jarjis, Datuk Zin Mohamed, Datuk Tengku Putera Tengku Awang, Datuk Latif Ahmad dan Datuk Helmi Yahya.
Kompromi
Mohd Khir menduduki tangga teratas senarai pencalonan bagi kerusi MT. Manakala kedudukan menteri besar yang lain ialah Syed Razak (3), Musa (5), Tajol Rosli (6), Mohammad (10), Datuk Abdul Ghani Othman (11) dan Datuk Seri Shahidan Kassim (15).
Kedudukan dari kalangan menteri dan timbalan menteri pula ialah Aziz (2), Mohamad Nordin (3), Abdul Kadir (5), Shafie Afdal (8), Ahmad Zahid (9), Dr Shafie (12), Azalina (13), Shahrizat (14), Dr Awang Adek (17), Noh (18) dan Jamaluddin (19).
Sementara itu, dalam kompromi yang dicapai dalam mesyuarat khas Puteri Umno malam tadi, Noraini Ahmad (
gambar
) memenangi jawatan ketua Puteri Umno tanpa bertanding selepas seorang lagi calon, Suraya Yaakob yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tiang dan ketua Puteri Umno Kedah, menarik diri.
Manakala dua calon bagi jawatan naib ketua pergerakan itu Bibi Sharliza Mohd Khalid dan Shahaniza Shamsudin turut menarik diri bagi membolehkan Rosnah Abdul Rasid Sherlin memegang jawatan tersebut tanpa bertanding.
Rosnah adalah ketua Puteri Umno Sabah manakala Bibi Sharliza (Adun Paroi) dan Shahaniza adalah ketua Puteri Umno Pahang.
Mesyuarat malam tadi di Stadium Nasional Bukit Jalil turut dihadiri kesemua ahli Exco pergerakan.
Berikutan itu, Suraya dilantik sebagai bendahari Puteri Umno, Bibi Sharliza (setiausaha) manakala Shahaniza dilantik sebagai ketua penerangan pergerakan tersebut.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.