Persaingan antara calon-calon dari kalangan menteri Besar dan menteri dijangka sengit berikutan kedua-dua pihak dipercayai mendapat sokongan seimbang daripada hampir 2,500 perwakilan ke pemilihan Umno bulan depan.

Setiap daripada 191 bahagian Umno boleh menghantar maksimum 13 perwakilan yang terdiri daripada enam pemegang jawatan di peringkat bahagian dan tujuh perwakilan yang dipilih sewaktu mesyuarat bahagian.

Bagaimanapun, mesyuarat Umno bahagian Permatang Pauh telah ditangguhkan berikutan mahkamah sedang mendengar petisyen pilihanraya calon Barisan Nasional (BN) Firdaus Ismail mencabar kemenangan presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Wan Azizah Wan Ismail dalam pilihanraya umum lalu.

Wan Azizah mendapat 21,737 undi untuk menewaskan calon BN Firdaus Ismail dengan majoriti 590 undi.

Malaysiakini diberitahu, kumpulan pertama perwakilan yang lebih dikenali sebagai Kumpulan 6 atau G6 terdiri daripada ketua bahagian, timbalan ketua bahagian, naib ketua bahagian, ketua Pemuda, ketua Wanita dan ketua Puteri.

Memandangkan perwakilan dalam G6 ini memegang jawatan penting dalam bahagian, maka majoriti mereka dikatakan akan menyokong calon-calon yang disahkan oleh Kelab Menteri Besar.

Manakala tujuh perwakilan yang dipilih oleh mesyuarat bahagian pula dikenali sebagai Kumpulan 7 atau G7 yang lebih cenderung menyokong calon-calon dari kalangan menteri dan timbalan menteri.

Berdasarkan jumlah bahagian, G6 mempunyai 1,146 orang perwakilan yang majoriti besarnya menyokong calon-calon yang disahkan oleh Kelab Menteri Besar.

Sokongan

Manakala G7 pula terdiri daripada 1,337 orang perwakilan yang lebih cenderung menyokong calon-calon dari kalangan menteri dan timbalan menteri.

Sementara itu, sumber-sumber memberitahu malaysiakini , memandangkan terdapat menteri atau timbalan menteri yang juga menjadi ketua, timbalan ataupun naib ketua bahagian, maka ada di kalangan mereka yang dijangka turut menyokong calon-calon G7.

Seramai 1,261 orang atau separuh daripada sejumlah 2,483 perwakilan datangnya daripada Johor yang mempunyai 26 bahagian, Sabah (25 bahagian), Perak (24 bahagian) dan Selangor (22 bahagian).

Berdasarkan jumlah maksimum 13 perwakilan dari setiap bahagian, Johor akan menghantar 338 perwakilan, Sabah (325), Perak (312) dan Selangor (286).

Manakala Kedah yang mempunyai 15 bahagian akan menghantar195 perwakilan, Kelantan 14 bahagian (182 perwakilan), Pahang 14 bahagian (182), Pulau Pinang 13 bahagian (169) dan Wilayah Persekutuan 13 bahagian (169).

Terengganu yang mempunyai 8 bahagian akan menghantar 104 perwakilan, Negeri Sembilan 8 bahagian (104), Melaka 6 bahagian (78) dan Perlis 3 bahagian (39).

Permatang Pauh

Bagaimanapun, mesyuarat pemilihan bagi bahagian Permatang Pauh di Pulau Pinang telah ditangguhkan berikutan berlangsungnya perbicaraan petisyen pilihanraya. Ini bermakna jumlah perwakilan dari Pulau Pinang hanya tinggal 156 orang.

Begitu juga dengan mesyuarat Umno bahagian Tanah Merah di Kelantan yang ditangguhkan berikutan aduan politik sewaktu mesyurat cawangan.

Jika ia tidak diadakan sebelum perhimpunan agung Umno 23 September ini, maka jumlah perwakilan dari Kelantan juga akan tinggal 169 orang.

Berikutan itu, kehangatan kempen untuk pemilihan parti bulan depan kini tertumpu di negeri-negeri yang bakal menghantar ramai perwakilan khususnya Johor, Sabah, Perak dan Selangor.

Begitu juga dengan negeri Kedah, Kelantan, Pahang, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan.