Umno didakwa amal dwi-standard kuatkuasa etika pemilihan
Pucuk tertinggi Umno, terutama Jawatan Pengurusan Umno, diminta supaya tidak mengamalkan 'dwi-standard' dalam menetap dan menguatkuasakan garispanduan dan etika pemilihan untuk jawatan dalam parti.
Pucuk tertinggi Umno, terutama Jawatan Pengurusan Umno, diminta supaya tidak mengamalkan 'dwi-standard' dalam menetap dan menguatkuasakan garispanduan dan etika pemilihan untuk jawatan dalam parti.
Menurut beberapa penyokong calon-calon yang bertanding bagi jawatan parti di peringkat pusat, garispanduan dan etika pemilihan tersebut telah diedarkan sebelum bermulanya mesyuarat bahagian dan cawangan Jun lalu.
"Sepatutnya itulah satu-satunya yang patut dipatuhi di peringkat cawangan, bahagian dan pemilihan jawatan di peringkat pusat," kata seorang daripada mereka.
Katanya, berdasarkan garispanduan tersebut, lebih 70 aduan telah dikemukakan kepada Jawatankuasa Disiplin Umno kerana ada calon-calon yang didakwa melanggar etika pemilihan di peringkat cawangan dan bahagian.
"Ia termasuk larangan menggunakan media untuk tujuan berkempen. Tetapi apabila ada calon-calon bagi pemilihan pusat berbuat demikian, larangan tersebut dipinda.
"Mereka dibolehkan diwawancara oleh pihak media selagi mereka tidak menyerang atau memburuk-burukkan calon-calon lain...ini tidak adil...," katanya.
Manakala seorang lagi penyokong terbabit berkata, kelonggaran seperti itu sudah pastinya akan menguntungkan calon-calon dari kalangan Menteri Besar dan anggota Kabinet yang sentiasa berdamping dengan pihak media.
Mencabar
Katanya, perbuatan mereka itu sepatutnya dianggap sebagai 'mencabar' arahan parti dan perlu dikenakan tindakan oleh pucuk pimpinan parti.
"Tetapi sebaliknya tidak...tindakan mereka diberi pertimbangan semula oleh pucuk pimpinan parti, dan berikutan itu, kelonggaran diberi kepada calon-calon untuk diwawancara oleh pihak media, dengan syarat mereka tidak memburuk-burukkan calon-calon lain.
"Lagi tidak moleknya apabila kelonggaran tersebut diberikan selepas Khairy Jamaluddin diwawancara secara besar-besaran oleh media perdana sehari selepas menang tidak bertanding bagi jawatan Naib Ketua Pemuda...
"Pastikan akan ada pihak yang akan menganggap, apabila ia membabitkan Khairy yang juga menantu Perdana Menteri arahan yang telah dikuatkuasakan dalam pemilihan di peringkat cawangan dan bahagian pun boleh dilonggarkan...ini tidak bagus...," tambahnya.
Lagi pula, katanya, tidak siapa yang boleh menentukan sama ada calon-calon tersebut diwawancara oleh pihak media ataupun agen-agen mereka yang mengatur pertemuan tersebut.
"Perkara inipun perlu diberi perhatian oleh pucuk pimpinan parti supaya kelonggaran tersebut tidak diambil kesempatan oleh calon-calon tertentu," tambahnya.
Etika pemilihan
Beliau bimbang sikap ketidaktegasan pucuk pimpinan Umno itu, akan mendorong pihak-pihak tertentu untuk membelakangkan garispanduan dan etika pemilihan parti, menjelang perhimpunan agung pada 23 September depan.
"Memandangkan tempoh menjelang pemilihan pucuk pimpinan Umno ada lebih sebulan lagi...kita tidak tahu apa lagi kelonggaran yang akan dibuat terhadap garispanduan pemilihan yang ada sekarang," tambahnya.
Pemilihan di peringkat Umno pusat kali ini akan membabitkan pertandingan bagi tiga jawatan naib presiden parti, Exco Pemuda, Wanita dan Puteri Umno.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak masing-masing menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno.
Begitu juga dengan Datuk Seri Rafidah Aziz yang turut dipilih tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Wanita dan Datuk Hishamuddin Hussein bagi jawatan Ketua Pemuda manakala Noraini Ahmad menang jawatan Ketua Puteri Umno.
Datuk Shahrizat Jalil pula mengekalkan jawatan Naib Ketua Wanita manakala Khairy terpilih tanpa bertanding bagi jawatan Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia.

