Teks berjilid: Ringankah beg murid?
Isu murid membawa beg yang berat kerana buku teks yang tebal bukan baru. Bertahun-tahun berlalu, sungguh ironi, tidak pernah Kementerian Pendidikan menemui penyelesaian. Tetapi rancangan ke arah itu sering kali diucapkan.
Semalam, kementerian cuba memperkenalkan "buku teks berjilid" bagi mengatasi masalah itu. Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Aziz Shamsuddin dilaporkan berkata, cara ini membolehkan murid membawa buku yang lebih ringan. Buku itu dibahagikan sekurang-kurangnya dua jilid.
Katanya, sebagai permulaan, buku teks semua mata pelajaran bahasa bagi murid Tahun Enam akan menggunakan buku jenis baru itu.
Cadangan tersebut akan mula diperkenalkan mulai tahun depan dan pelaksanaan itu membabitkan perbelanjaan tambahan RM500,000.
Aziz memberi tempoh lima tahun bagi mengeluarkan buku berjilid untuk subjek-subjek lain.
Tinjauan malaysiakini hari ini menunjukkan pihak-pihak terbabit mempunyai pandangan yang bercampur-campur. Mereka menyokong usaha tersebut tetapi bimbang ia akan membebankan.
Menurut seorang guru sekolah rendah di Kuala Lumpur, Khairi Hassan Ashari, sejak tahun 1980-an sudah kedengaran rungutan beg berat. "Malah ada murid pernah membawa beg seberat lima kilogram," katanya, merujuk isu yang dibangkitkan kementerian ketika ditadbir Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sementara itu, sebuah persatuan ibubapa dan guru meminta kerajaan mengkaji semula pelaksanaan cadangan itu memandangkan harga buku teks akan meningkat dan ia tentu membebankan keluarga berpendapatan rendah.
"Usaha yang baik ini biarlah tidak membebankan ibu bapa," kata Fadli Mansor kepada malaysiakini .
Syarikat penerbitan buku teks, Longman, tidak menafikan cadangan itu akan meningkatkan harga sebuah buku teks.
Bagaimanapun seorang pegawai eksekutifnya, Ricky Khew berkata kos penerbitan buku berjilid agak sukar dianggarkan kerana pihaknya perlu mempertimbangkan proses penerbitan yang lain.
Bagaimanapun, Presiden Persatuan Guru-guru Malaysia Barat, Dr Abd Rahman Daud berkata, kos buku teks meningkat tidak timbul.
"Sudah tentu (cadangan itu) akan menambahkan kos tetapi ini hanya pada peringkat permulaan sahaja," kata Dr Abd Rahman, yang juga pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Cadangan ini tidak akan membebankan ibu bapa yang berpendapatan rendah kerana skim bantuan buku teks diberikan kepada ibu bapa yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM1500, jelas seorang guru pendidikan khas pula.
Tambahnya, isu bilangan buku teks yang meningkat dan tebal juga berpunca daripada desakan ibu bapa yang mahu latihan tambahan diberikan kepada anak-anak mereka.
"Orang ramai akan terus mengkritik. Tetapi sekiranya cadangan tersebut baik, tidak salah mereka menerima dengan fikiran terbuka," seorang guru besar sekolah rendah di Datuk Keramat pula mempertahankan tindakan kementerian.

