Bagi mewujudkan kebebasan akhbar di Malaysia, sebuah Suruhanjaya Akhbar Malaysia perlu ditubuhkan bagi mengendalikan semua aktiviti penerbitan di negara ini, kata Profesor Pusat Pengajian Media dan Komunikasi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Mohd Safar Hashim.

Pada masa ini, tanggungjawab tersebut terletak pada kerajaan di mana sebarang aktiviti percetakan memerlukan permit yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP).

Melalui saranannya itu, Dr Mohd Safar berkata, sesiapa yang ingin menjalankan aktiviti penerbitan hanya perlu mendaftar dengan suruhanjaya tersebut dan tidak perlu lagi memohon lesen atau permit dan pendaftaran dibuat sebagaimana pendaftaran perniagaan.

"Penubuhan suruhanjaya ini akan membolehkan akhbar berjalan dengan lebih bebas, kerana tanpa lesen mesin cetak dan permit penerbitan, bermakna tidak perlu memikirkan tentang pembaharuan lesen dan permit," katanya.

Pada masa yang sama, katanya, suruhanjaya tersebut sebagai sebuah badan kawalan sendiri turut bertanggungjawab untuk memupuk kebebasan akhbar yang bertanggungjawab, sambil mengekal dan membaiki piawaian akhbar dan agensi berita di negara ini.

Beliau juga menyarankan supaya AMCP dan beberapa peruntukan lain dalam beberapa undang-undang berkaitan kandungan perlu dimansuhkan.

"Sebagai gantinya, sebuah akta baru yang mungkin dikenali sebagai Akta Pendaftaran Akhbar dan Periodikal digubal untuk mendaftar akhbar dan penerbitan lain. Akta ini tidak mengandungi unsur-unsur kawalan, sama ada kawalan awal atau kawalan selepas penerbitan," tegasnya.

Sekatan

Prof Dr Mohd Safar membuatkan saranan itu ketika menyampaikan Syarahan Perdana bertajuk 'Akhbar di Malaysia: Antara kebebasan dengan tanggungjawab' di Dewan Senate UKM di Bangi hari ini.

"Penghapusan lesen mesin cetak dan permit penerbitan, bukan sekadar menghapuskan sekatan atau 'prior restraints', tetapi juga akan mewujudkan suatu padang permainan yang lebih rata bagi semua orang.

Dengan itu, tegasnya, siapa yang berkemampuan atau mempunyai sesuatu untuk diperkatakan, boleh memasuki bidang penerbitan akhbar, tanpa perlu melalui proses mendapat permit.

Mengenai keahlian suruhanjaya tersebut, Dr Mohd Safar berkata mereka hendaklah terdiri daripada profesional media (pemilik, editor, wartawan), orang awam dan mereka yang berminat dengan media.

"Komposisinya harus ditimbang dengan teliti, tetapi sebagai panduan, jumlah ahli profesional media hendaklah seimbang dengan ahli yang mewakili masyarakat, supaya wujud keadilan dan tiada usaha untuk menutup sebarang kes atau menyapu kekotoran ke bawah permaidani," katanya.

"Suruhanjaya ini juga dicadang mempunyai beberapa orang 'ombudsman', sebagai penimbangtara antara orang ramai dan penerbit atau editor akhbar. Orang ramai juga boleh mengadu kepada suruhanjaya," tegasnya.

Manakala sumber kewangan suruhanjaya ini, tambahnya, harus datang daripada sumbangan pihak akhbar, berdasarkan naskah cetakan.

Levi

"Bagaimanapun, ketetapan boleh dibuat supaya akhbar yang mempunyai pengedaran di bawah 10,000 naskah sehari, dikecualikan daripada levi ini. Ini boleh dilakukan sebagai langkah menggalak pertumbuhan akhbar baru.

"Di India, pengedaran yang kurang daripada 5,000 naskah dikecuali levi. Selain itu, kerajaan juga boleh memberi sumbangan dalam bentuk geran tahunan," tambahnya.

Beliau turut mencadangkan supaya bagi tempoh 10 tahun pertama, suruhanjaya tersebut di letak di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) supaya semua pihak dapat melihat sama ada cara ini boleh mencapai matlamat menjadikan akhbar lebih bertanggungjawab.

"Walaupun terletak di bawah JPM, operasi suruhanjaya ini tidak melibatkan jabatan berkenaan, sama seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Menjelang 10 tahun penubuhan suruhanjaya ini, beliau menyarankan supaya satu proses menilai semula perlu diadakan untuk meletakkannya di luar JPM.

Walaupun demikian, katanya, suruhanjaya ini perlu ditubuhkan melalui Parlimen, sebagaimana Majlis Akhbar di India.

"Suruhanjaya ini akan dipandu oleh suatu kod etika yang dipersetujui bersama oleh akhbar. Akhbar diwajibkan mematuhi kod etika ini," tambahnya.