Pemilihan Umno: Lima pasukan berkempen di seluruh negara
Kempen untuk pemilihan pucuk kepimpinan Umno kini memasuki ke pusingan 'kritikal' ketika ibu pejabat Umno sedang mencari jalan untuk membanteras gejala politik wang sepanjang kempen tersebut berlangsing sehingga pemilihan parti mulai 21 September ini.
Kempen untuk pemilihan pucuk kepimpinan Umno kini memasuki ke pusingan 'kritikal' ketika ibu pejabat Umno sedang mencari jalan untuk membanteras gejala politik wang sepanjang kempen tersebut berlangsing sehingga pemilihan parti mulai 21 September ini.
Tugas ibupejabat Umno untuk mengawasi wang di kalangan calon-calon khususnya bagi jawatan Naib Presiden dan kerusi Majlis Tertinggi (MT) juga menjadi semakin sukar apabila 'kaki-kaki' kempen kini dipercayai telah bergabung dalam menjalankan kegiatan mereka di seluruh negara.
Menurut sumber-sumber, kini wujud lima 'pasukan profesional' yang menawarkan khidmat mereka untuk meraih undi bagi calon-calon yang bertanding, khususnya bagi tiga jawatan Naib Presiden dan 25 kerusi MT.
Menurutnya, bagi mengelak berlaku pertindihan perkhidmatan yang diberikan, kelima-lima 'pasukan' ini telah bersetuju untuk membahagikan kawasan masing-masing mengikut lima wilayah - Utara, Selatan, Tengah, Timur dan Malaysia Timur (Sabah).
"Kelima-lima pasukan ini akan menyelaraskan senarai mengikut 'pelanggan' mereka dan kempen dijalankan mengikut wilayah masing-masing.
"Kami difahamkan, senarai tersebut mengandungi tiga calon Naib Presiden dan 25 calon MT, menurut kaedah siapa cepat, namanya akan disenaraikan," tambahnya.
Tutup mulut
Dengan menyelaraskan kempen meraih undi itu, maka tidak akan wujud persaingan antara kelima-lima pasukan ini, tambah sumber-sumber itu.
Menurutnya lagi, keadah berkempen ini juga akan menyukarkan lagi pihak ibupejabat untuk mendapatkan sebarang maklumat mengenai kegiatan politik wang ini, kerana pastinya kelima-lima pasukan tersebut, akan menutup mulut.
Sebelum ini, katanya, pihak ibu pejabat, mendapat maklumat daripada 'kaki kempen' apabila tidak puas hati dengan kegiatan 'kaki kempen' yang lain.
"Bagi calon-calon pula, walaupun mereka, tersenarai, mereka boleh menafikan yang mereka tidak tahu menahu mengenai perkara tersebut... jadi tiada tindakan yang boleh diambil terhadap mereka," tambahnya.
Sebelum ini, ejen-ejen perisik yang dilantik oleh ibupejabat Umno ini pun mendapat maklumat daripada kaki-kaki kempen tersebut. Kini semakin sukarlah tugas mereka.
Sumber-sumber itu juga tidak menolak kemungkinan program taklimat khas terpaksa diadakan berikutan hebatnya aktiviti kempen yang berjalan bagi menghadapi pilihan parti bulan depan.
Malah, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga dilaporkan berkata bahawa tindakan Umno mengadakan taklimat bagi semua perwakilan sebelum pemilihan parti September ini bertujuan menangani politik wang secara lebih berkesan.
Sungutan
Kesemua perwakilan daripada 191 bahagian serta calon-calon yang bertanding diwajibkan menghadiri taklimat khas tersebut yang berjudul "Pembanterasan Politik Wang" sebelum pemilihan parti itu yang dijadualkan berlangsung dari 21 hingga 25 September depan.
Empat sesi taklimat merangkumi semua zon akan dilaksanakan - zon Sabah/Labuan telah diadakan Jumaat lalu manakala taklimat kedua yang meliputi zon selatan dan tengah (Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya) pada 6 September ini.
Taklimat ketiga pula bagi zon utara (Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak) diadakan pada 7 September manakala bagi zon Pantai Timur (Pahang, Kelantan dan Terengganu) akan berlangsung pada 8 September depan.
Menurut sumber-sumber itu lagi, Lembaga Disiplin Umno juga telah diarahkan mengambil tindakan tanpa gentar terhadap pihak-pihak dalam usaha menghapuskan politik wang.
"Arahan tersebut telah dikeluarkan sendiri oleh Pemangku Presiden, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menghapuskan politik wang di semua peringkat, termasuklah bagi perebutan jawatan Naib Presiden,'' tambahnya.
Sebelum ini, katanya, ada ahli-ahli Umno yang bersungut bahawa Lembaga Disiplin tidak mengambil tindakan terhadap calon-calon bagi jawatan Naib Presiden yang didakwa mengamalkan politik wang.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.