Malaysiakini
Malaysiakini BERITA

PasMa umum jadi parti politik lepas muktamar

Anne Muhammad

Diterbitkan  |  Dikemaskini

NGO Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) akan mengumumkan sama ada badan itu akan menjadi parti politik atau tidak, selepas berakhirnya muktamar PAS Jun ini.

Presidennya, Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata setakat ini pihaknya "menunggu masa yang sesuai" khususnya "bagi melihat terlebih dahulu keadaan parti Islam itu" selepas muktamar tahunannya di Kuala Selangor.

"Banyak pihak yang nak tunggu saya umumkan jadi parti politik atau tidak. Saya sangat berhati-hati dalam isu ini agar elak kita dari terperangkap dalam cabaran sesetengah pihak.

"Kalau kita nak jadi parti politik, kita tidak boleh jadi parti politik bersendirian. Kita hendaklah jadi satu komponen dari Pakatan Rakyat.

"Kita tunggu masa yang sesuai ingin umumkan dalam satu konvensyen PasMa peringkat nasional. Kita jangka bulan enam.

"Selepas Muktamar (PAS) kita jangka, kita akan buat satu keputusan (tubuh parti atau tidak),” katanya dalam konvensyen NGO itu di Shah Alam.

Menurut Phahrolrazi lagi, kini pihaknya sedang mengumpulkan maklumat awal mengenai perkara itu dan akan membawanya ke dalam kovensyen akan datang.

Phahrolrazi mengulas desakan kira-kira 50 penyokong PasMa dalam Konvensyen PasMa peringkat Wilayah Persekutuan dan Selangor untuk menyatakan pendirian sama ada NGO itu mahu menjadi parti politik.

Rata-rata soalan yang ditujukan kepada beliau juga berkisar dakwan beliau terlalu berlembut kerana tidak membuat serangan balas kepada PAS.

Beliau yang juga ADUN PAS Pengkalan Kundor berkata pihaknya kini sedang mengumpulkan maklumat awal dan akan membawanya ke dalam kovensyen nasional NGO itu akan datang.

Turut hadir dalam acara itu ialah ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib dan bekas exco Selangor Ronnie Liu.