Anwar bersyukur kerana diberi kehakiman yang jujur dan adil
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan spekulasi mengenai wujudnya sebarang perjanjian sulit atau persetujuan, sebelum Mahkamah Persekutuan mengumumkan keputusan membebaskannya daripada sabitan dan hukuman bagi kesalahan liwat.
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan spekulasi mengenai wujudnya sebarang perjanjian sulit atau persetujuan, sebelum Mahkamah Persekutuan mengumumkan keputusan membebaskannya daripada sabitan dan hukuman bagi kesalahan liwat.
"Tidak ada langsung. Tidak ada sebarang perjanjian sulit dengan sesiapa pun. Adalah malang sekali kalau wujud sebarang (perjanjian)," katanya ketika ditanya mengenai khabar angin kononnya wujud perjanjian sulit di antara Umno dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kini dipimpin oleh isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Anwar menegaskan demikian ketika masih lagi duduk di kandang orang salah di atas sebuah kerusi roda khas (yang mengampu belakangnya) dengan dikelilingi oleh isteri dan anak-anaknya yang menyerbu untuk memeluknya sebaik sahaja sesi mahkamah berakhir.
Beliau yang memakai baju putih, berseluar hitam dan pendakap spina di bahagian pinggangnya, kelihatan keletihan dan bercakap secara perlahan kerana sakit yang dialaminya.
Menurut Anwar lagi, keputusan mahkamah itu membuktikan bahawa tuduhan-tuduhan terhadapnya dan hukuman yang dijatuhkan ke atasnya adalah bermotifkan politik.
"Para hakim mempunyai keberanian untuk akhirnya membuat keputusan yang jujur dan untuk itu, saya merasa amat bersyukur. Tetapi ini tidak menghalang kemungkinan berlakunya lagi usaha-usaha untuk mengganggu (tugas) hakim (seperti sebelumnya)."
Mahkamah Persekutuan hari ini membebaskan Anwar dan adik angkatnya Sukma Darmawan Sasmitaat Madja selepas membenarkan rayuan mereka terhadap sabitan dan hukuman penjara bagi kesalahan liwat, yang didakwa dilakukan pada 1993.
Tiada campurtangan
Anwar menegaskan bahawa beliau mungkin tidak mendapat keputusan (mahkamah) yang memihak kepadanya jika pihak pentadbiran sekarang campurtangan dalam bidang kehakiman.
"Saya perlu memuji Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) kerana tidak campurtangan dalam bidang kehakiman," katanya.
Katanya, banyak lagi yang boleh dilakukan oleh Abdullah dengan membebaskan semua tahanan ISA yang kini ditahan di Kem Tahanan Kemunting di Taiping, Perak.
"Saya merayu kepada Perdana Menteri supaya membawa perubahan-perubahan sewajarnya. Saya mesti menegaskan bahawa bekas Perdana Menteri (DrMahathir Mohamad) tidak akan melakukannya."
Menyentuh mengenai kareer politiknya, Anwar berkata, beliau tetap komited terhadap perjuangannya untuk membawa pembaharuan.
"Saya bersedia untuk bekerjasama dengan semua parti-parti pembangkang, PAS, DAP dan tentunya PKR dalam membawa perubahan dan pembaharuan di negara ini," katanya.
Anwar juga menolak anggapan bahawa beliau terpaksa menungu sekurang-kurangnya lima tahun sebelum kembali aktif berpolitik. Menurut undang-undang, seorang yang dijatuhkan penjara, dilarang memegang sebarang jawatan politik bagi tempoh lima tahun.
Berazam
"Tidak, saya tidak perlu menunggu lima untuk berbuat demikian. Saya berazam untuk meneruskan perjuangan politik saya," katanya.
Satu lagi kes rayuan Anwar kepada Mahkamah Persekutuan untuk menyemak keputusan mahkamah itu sebelum ini, yang mengekalkan hukuman ke atasnya bagi kesalahan salahguna kuasa, akan didengar Isnin depan.
Sekiranya mahkamah membenarkan rayuannya, ia bermakna Anwar boleh kembali bergiat semula dalam politik pada bila-bila masa.
Ditanya sama ada beliau mempunyai sebarang niat untuk kembali semula ke pangkuan Umno, Anwar berkata, persolan itu tidak perlu timbul kerana beliau tidak menolak sebarang kemungkinan yang bakal berlaku.
"Agenda utama saya ialah untuk membawa pembaharuan dan saya sedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja sama ada parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan atau kumpulan masyarakat madani."
Bagaimanapun, semua kegiatan politiknya ditangguhkan dahulu sehinggalah beliau menjalani pembedahan endoskopik untuk merawat kecederaan tulang pada tulang belakangnya.
"Keutamaan saya ialah untuk menjalani pembedahan secepat mungkin di Munich, Jerman. Semuanya akan diuruskan oleh Wan Azizah. Tetapi saya tidak boleh berlepas ke sana hari ini kerana saya tidak memiliki pasport."
Berehat
Untuk sementara ini, Anwar merancang untuk berehat bersama keluarga di kediamannya di Bukit Damansara.
"Saya amat merindui mereka....khususnya Azizah yang merupakan seorang wanita yang cekal, seorang isteri dan rakan sepanjang enam tahun saya berada dalam tahanan."
Sukma juga terlaku gembira untuk bercakap mengenai apa yang bakal dilakukannya selepas turut dibebaskan bersama Anwar hari ini.
"Saya tidak tahu apa yang hendak saya lakukan sekarang kerana terlalu banyak perkara yang bermain di fikiran saya. Tetapi saya rasa, perkara utamanya, saya ingin pulang ke kediaman saya di Trivoli Villa dan menjaga pokok-pokok saya yang telah lama terbiar," katanya sambil tersenyum gembira.
Sambil memeluk sepupunya, Doni Teguh Peribadi yang tiba dari Jakarta malam tadi untuk bersamanya hari ini, Sukma berkata beliau merancang untuk menziarah ibunya yang sedang sakit di Indonesia.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.