Pengalaman paling perit yang dilalui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu dalam tahanan enam tahun lalu ialah ketika matanya ditutup, digari dan dibelasah oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor.

Malah, kata Anwar, ketika itu beliau merasakan seolah-olah dia tidak akan dibiarkan meninggalkan tempat itu hidup-hidup.

Dalam wawancara media di kediamannya di Bukit Damansara petang ini, Anwar berkata, ketika itu, beliau juga tidak tahu siapa yang membelasahnya sehinggalah Rahim sendiri mengakui melakukannya kemudiannya.

"Memang sukar untuk membayangkan perkara-perkara seumpama itu boleh berlaku di Malaysia. Maksud saya, kita mengetahui perkara seumpama itu berlaku apabila membaca tentang Stalin dan Hitler...tetapi saya tidak pernah terfikir yang ianya juga boleh berlaku ke atas diri saya," tambahnya.

Menurutnya, beliau dibelasah begitu teruk sekali sehingga pengsan sampai esoknya, selain tidak dibenarkan langsung untuk mendapat rawatan selama empat jam seterusnya.

"Ya, ia memang zalim. Mana-mana manusia yang bertamadun tidak akan menerima kezaliman seperti itu dilakukan kepada sesiapa juga, manusia, binatang atau pada pokok.

Kejam

"Bayangkan, ianya telah berlaku terhadap bekas timbalan perdana menteri. Oleh itu, tidak dapat dibayangkan apa yang boleh berlaku terhadap petani yang miskin, guru atau pekerja kilang," katanya.

Anwar menyifatkan peristiwa tersebut sebagai kejam, tetapi menjelaskan yang beliau tidak pernah menyimpan perasaan dendam terhadap sesiapapun.

"Saya tidak pernah membenci sesiapapun, termasuk Dr Mahathir Mohamad. Malah, selepas membaca komen beliau mengenai pembebasan saya, saya bersimpati dengannya kerana kenyataannya itu menunjukkan dirinya sudah ketinggalan zaman," katanya lagi.

Menurut Anwar, tiada sesiapapun yang sepatutnya melalui pengalaman seumpama itu, sambil menegaskan kerana itulah pembaharuan diperlukan di negara ini.

Katanya, banyak lagi usaha yang perlu dilakukan supaya Malaysia menjadi lebih demokratik, aman dan mempunyai ekonomi yang mampan.

Tambahnya, kerajaan yang memerintah sekarang boleh memainkan peranan penting ke arah mencapai matlamat tersebut.

"Apa gunanya menyalahkan pihak Barat dan konspirasi kaum Yahudi apabila kita mempunyai kuasa, tetapi enggan untuk membawa pembaharuan di dalam negara kita. Mengapa perlunya mengkritik pelampau Islam apabila kita sendiri membenarkan penahanan tanpa bicara?", katanya.

Demokrasi

Ketika ditanya sama ada demontrasi jalan akan muncul semula selepas pembebasannya ini, Anwar berkata, kerajaan sepatutnya tidak mempunyai masalah untuk membenarkan sebahagian kecil daripada demokrasi dilaksanakan.

"Saya tidak tahu mengapa kerajaan sekarang, dengan bilangan kerusi (Parlimen) yang dimenanginya, masih takut untuk membenarkan kebebasan amalan demokrasi.

"Apalah salahnya untuk mengadakan ceramah, perhimpunan dan....permit kepada Harakah . Mereka tidak sepatutnya bimbang dengan perkara-perkara kecil seumpama itu.

"Seperti sekarang ini, satu sahaja artikel yang disiarkan dalam malaysiakini boleh membuat mereka menjadi kelam-kabut. Ia amat melucukan sekali," tambahnya.

Anwar juga berkata, selepas pulih setelah menjalani pembedahan nanti, beliau akan kembali turun padang untuk mengaktifkan pelbagai parti dan pertubuhan yang mahukan pembaharuan.

"Saya berharap dapat menjadi sebahagian daripada proses ini. Saya menyokong pembangkang, agenda dan NGO yang terbabit dalam aktiviti pembaharuan," katanya.