Naib Presiden: Strategi untuk kekalkan Muhyiddn dan Muhd Taib
Perkembangan terbaru menjelang pemilihan Umno hujung bulan ini telah menyebabkan berlaku perubahan drastik dalam kedudukan calon-calon popular bagi jawatan Naib Presiden Umno.
Perkembangan terbaru menjelang pemilihan Umno hujung bulan ini telah menyebabkan berlaku perubahan drastik dalam kedudukan calon-calon popular bagi jawatan Naib Presiden Umno.
Jika sebelum ini, Datuk Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam paling popular di kalangan perwakilan untuk menduduki tempat kedua teratas bagi jawatan tersebut, kini kedudukan mereka telah merosot, masing-masing ditangga keempat dan kelima.
Mustapa adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Umno Kelantan manakala Mohd Ali adalah Ketua Menteri Melaka.
Sebaliknya, penyandang jawatan tersebut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib sudah kembali menduduki tangga kedua teratas dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Isa Samad di tangga ketiga.
Perubahan ini berpunca daripada perubahan mendadak strategi pemilihan di kalangan perwakilan dari Selangor, Johor, Pahang dan penyokong kuat Ketua Pemuda Umno, Hishammuddin Hussein dan naibnya, Khairy Jamaluddin.
Secara amnya, mereka lebih selesa supaya gandingan sedia ada Muhyiddin dan Muhd Taib dikekalkan dan mereka diganding pula dengan Isa.
Muka baru
Ini bagi memudahkan peralihan kuasa dari kalangan veteran kepada golongan muda dalam Umno dalam pemilihan parti pada tahun 2007.
"Ketika itu, Hishamuddin terpaksa mengkotai janjinya untuk melepaskan jawatan ketua kepada Khairy dan beliau tidak ada pilihan lain lagi kecuali bertanding bagi jawatan Naib Presiden," kata sumber-sumber yang rapat para perwakilan Umno ke Perhimpunan Agung Umno hujung bulan ini.
"Dan Khairy ketika itu, selaku Ketua Pemuda Umno Malaysia secara automatik dilantik sebagai Naib Presiden bersama Ketua Wanita dan Ketua Puteri Umno," tambahnya.
Oleh itu, katanya, jalan terbaik supaya semua itu dapat menjadi kenyataan ialah dengan memastikan muka-muka baru yang berpotensi seperti Mustapa dan Mohd Ali tidak menang jawatan tersebut dalam pemilihan hujung bulan ini.
"Dengan mengekalkan muka lama - Muhyiddin dan Muhd Taib dan digandingkan pula dengan Isa, maka ia akan memudahkan peluang Hishammuddin untuk memenangi jawatan tersebut pada pemilihan 2007.
"Ini kerana ketika itu, sekurang-kurang Muhd Taib dan Isa, sudah sepatutnya bersara daripada politik dan ini memberi peluang kepada Hishammuddin dan pemimpin lain, seperti Datuk Zahid Hamidi, menaiki hirarki parti," tegas sumber-sumber itu lagi.
Untuk mencapai matlamat tersebut, katanya, kumpulan berkenaan menggunakan alasan kemenangan Barisan Nasional dalam pilihanraya kecil Kuala Berang baru-baru ini supaya perwakilan menyokong Muhd Taib.
Berkempen
"Mengenai Muhyiddin pula, mereka menyatakan beliau merupakan orang kepercayaan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Jadi beliau perlu dikekalkan di jawatan Naib Presiden," tambahnya.
Mengenai Isa pula, sumber-sumber berkata, Menteri Wilayah Persekutuan itu cukup popular sekarang kerana para perwakilan sudah ramai berhimpun di Kuala Lumpur dan penyokong beliau telah mengambil kesempatan itu untuk berkempen untuknya.
Selain itu, katanya, kedudukan Mustapa juga terjejas berikutan adanya kempen oleh kalangan tertentu yang cuba mempengaruhi perwakilan supaya tidak memilih pengerusi Umno Kelantan itu, dengan alasan kalah atau menang, beliau tetap mendapat tempat dalam kerajaan dan parti.
Menurutnya, ianya jelas terbukti sebelum ini, walaupun Mustapa tidak memegang sebarang jawatan dalam parti, beliau tetap dilantik menjadi Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (Mten).
"Lihatlah, selepas pilihanraya umum baru lalu, beliau dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana," tegasnya.
Dua lagi calon untuk jawatan Naib Presiden ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Samad.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.