Gabungan Merdeka Rakyat sepakat mencadangkan lapan mekanisme untuk menambahbaik urus tadbir kerajaan.

Pertama sekali, kita perlu menuntut pemansuhan Akta Rahsia Rasmi demi kebebasan maklumat. Semua orang mengetahui bahawa setiap dokumen kerajaan baik dokumen rasmi dan tender kerajaan akan diklasifikasikan sebagai rahsia kerajaan.

Seterusnya, ia perlu diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi. Jika terdapat mana-mana pihak membocor apa-apa maklumat yang diklasifikasikan sebagai rahsia kerajaan maka tindakan akan diambil. Ia merupakan kesalahan bersifat tanggungjawab mutlak.

Apa perlunya kebebasan maklumat, kerana banyak maklumat mempunyai kaitan dengan kepentingan awam. Rakyat perlu mengetahui ke manakah wang hasil daripada kutipan cukai disalurkan dan dibelanjakan.

Jika semua diletakkan di bawah rahsia kerajaan, rakyat tidak diberi peluang untuk mendapat akses kepada maklumat, maka ini merupakan satu penyalahgunaan kuasa yang cukup besar oleh kerajaan.

Kedua, urus tadbir kerajaan perlu mengikut garis panduan oleh UN Global Compact, Transparency International dan Global Financial Integrity. Global Compact merupakan satu agensi oleh UN untuk memastikan setiap urus niaga yang dikendalikan oleh entiti perniagaan itu telus dan adil.

Transparency International pula ialah satu agensi antarabangsa yang memantau urus tadbir satu-satu kerajaan itu bebas dari unsur rasuah. Manakala Global Financial Integrity pula ialah satu badan bebas yang memantau pengeluaran aliran wang haram dalam pengurusan kewangan semua negara.

Kita perlu memaksa kerajaan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Global Compact, Tranparency International dan Global Financial Intergrity. Hasilnya, kerajaan akan dilihat mempunyai integriti.

Kuasa mendakwa SPRM

Ketiga, memperuntukkan kuasa pendakwaan kepada SPRM. Antara sebab memberikan peruntukan kuasa ini ialah untuk mengurangkan beban Peguam Negara. Selain itu, SPRM akan mempunyai taring untuk meneruskan pendakwaan yang berprofil tinggi.

Sebagai contoh, terdapat kes yang sudah disiasat oleh SPRM, namun tiada pendakwaan dibuat. Oleh itu, untuk melicinkan proses penyiasatan dan pendakwaan yang lebih terperinci, SPRM perlu diberi kuasa pendakwaan.

Seterusnya, mendesak menteri Kabinet dan pegawai tinggi kerajaan membuat pengisytiharan harta dan aset mereka secara terbuka kepada orang awam. Mekanisme yang digunakan sekarang sudah ada pengisytiharan aset oleh Jemaah menteri. Namun, ianya bukan satu pengisytiharan kepada awam kerana pengisytiharan hanya dibuat kepada perdana menteri.

Melalui cara ini, mungkin maklumat harta itu disembunyikan. Sebagai contoh, sumber pendapatan jika terdapat sumber yang meragukan seperti rasuah boleh dilindungi dengan tidak melalui pengisytiharan kepada orang awam.

Justeru, satu undang-undang perlu digubal atau dipinda bagi mewajibkan semua ahli kabinet dan pegawai tinggi kerajaan mengisytiharkan harta secara awam. Antaranya melalui meminda Akta SPRM 2009 untuk menguatkuasakan kuasa kepada SPRM memastikan pengisytiharan harta kepada orang awam dibuat.

Kita juga perlu menuntut penutupan agensi atau jabatan kerajaan yang mempunyai pertindihan tugas. Contoh yang boleh dilihat ialah PEMANDU dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara. Peranan yang dimainkan oleh PEMANDU adalah untuk memantau pencapaian kerajaan dalam NKRA dan NKEA yakni memberikan nasihat hal ehwal ekonomi kepada kerajaan.

Manakala, MTEN pula memberikan nasihat berkaitan dengan hal ehwal ekonomi. Persoalan yang akan timbul ialah peranan dan nasihat agensi mana yang akan didengar di mana dalam masa yang sama tugasnya mempunyai persamaan.

Satu lagi contoh yang boleh dilihat ialah 1MDB dan Khazanah Nasional Berhad. Kedua-duanya ialah badan pelaburan kerajaan Malaysia kini. Sekali lagi, persoalan akan timbul agensi manakah yang akan memainkan tugas pelaburan negara.

Suruhanjaya lantik hakim

Cadangan yang boleh dikemukakan ialah menutup agensi kerajaan yang mempunyai pertindihan tugas untuk menjimatkan wang negara, mengurangkan defisit dan memastikan kerajaan dapat bergerak dengan cekap.

Keperluan kepada penubuhan cabinet bayangan dan pelantikan Ketua Pembangkang sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) adalah amat penting untuk menjamin proses semak dan imbang yang lebih baik.

Jika Kabinet bayangan dapat ditubuhkan, rakyat akan mendapat manfaat bahawa terdapat satu alternatif untuk dibandingkan  dengan kerajaan yang sedia ada. Rakyat akan melihat cadangan dan cara bagaimana yang lebih menarik minat mereka. Langkah ini amat bermanfaat kepada pembangunan negara.

Dalam pengurusan hasil bumi seperti minyak dan gas, kerajaan perlu meratifikasikan Extractive Initiative Transparencies Initiative (EITI). Tujuan ratifikasi ini adalah untuk memastikan pengurusan hasil bumi digunakan dengan telus oleh pihak kerajaan. Sehingga saat ini Malaysia belum meratifikasi perjanjian ini. Kesannya, rakyat tidak tahu ke mana hasil sumber ini digunakan dan dibelanjakan.

Akhir sekali, kerajaan perlu menubuhkan satu Suruhanjaya Pelantikan Hakim (JAC) tanpa campur tangan eksekutif. Amalan yang ada pada hari ini ialah negara ini mempunyai Suruhanjaya Pelantikan Hakim di mana suruhanjaya ini akan memilih nama yang layak untuk dilantik menjadi hakim namun kata putus berada dalam tangan Perdana Menteri.

Selain itu, pelantikan bukan semata-mata kepada merit sahaja malah ada pertimbangan lain juga dibuat oleh panel suruhanjaya. Berbeza seperti amalan di United Kingdom, pelantikan hakim dibuat berdasarkan penilaian berasakan merit semata-mata.

Bukan itu sahaja, Parlimen di UK telah memberikan kuasa kepada Suruhanjaya Pelantikan Hakim di sana di mana bukan lagi di bawah kuasa Lord Chancellor.

Usaha ini menunjukkan komitmen kerajaan Britain untuk menjamin kebebasan sistem kehakiman di sana. Kesimpulannya, negara ini perlu mencontohi amalan di UK demi memulih semula kebebasan sistem kehakiman.


NAQIUDDIN NAZRIN seorang pegarah Gabungan Merdeka Rakyat dan juga presiden Mahasiswa Keadilan Malaysia.

Teks ini diucap dalam Pidato Merdeka Rakyat ketika pelancaran Deklarasi Merdeka Rakyat.