Pemilihan Umno: Tiada lagi sekatan untuk berkempen
Umno telah menarik balik hampir kesemua larangan-larangan yang dikenakan sebelum ini terhadap calon-calon yang bertanding dalam pemilihan parti, khususnya bagai jawatan Naib Presiden dan Majlis Tertinggi (MT).
Umno telah menarik balik hampir kesemua larangan-larangan yang dikenakan sebelum ini terhadap calon-calon yang bertanding dalam pemilihan parti, khususnya bagai jawatan Naib Presiden dan Majlis Tertinggi (MT).
Yang terbaru ialah keputusan ibu pejabat Umno untuk menarik balik arahan yang melarang calon-calon mengadakan perjumpaan dengan para perwakilan untuk berkempen bagi mendapatkan sokongan.
Menurut Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, calon-calon kini boleh mengadakan perjumpaan dengan perwakilan untuk memperkenalkan diri masing-masing dan jawatan ditandingi.
Menurut beliau, majlis jamuan boleh diadakan "kerana dalam perjumpaan seumpama itu sudah pastinya para hadirin dijamu makan."
Bagaimanapun, beliau mengingatkan para calon dan pengurus kempen mereka supaya mengelak daripada terbabit dalam politik wang.
Malaysiakini difahamkan, keputusan tersebut dibuat kerana timbulkan rungutan daripada calon-calon yang bukannya dari kalangan menteri besar dan menteri, kerana tidak berpeluang memperkenalkan diri mereka kepada para perwakilan.
Wawancara
"Sedangkan menteri besar, menteri dan timbalan menteri, masing-masing mengambil peluang daripada kedudukan masing-masing untuk menghadiri majlis rasmi," kata sumber-sumber yang rapat dengan Umno.
"Bagaimanapun, memang sudah menjadi pengetahuan umum bahawa dalam majlis seumpama itu, para perwakilan juga dijemput hadir...tentunya untuk berkempen...," tambahnya.
Bulan lalu, Radzi mengumumkan bahawa calon-calon boleh diwawancara oleh pihak media dengan syarat mereka tidak menggunakan peluang itu untuk mengkritik lawan mereka.
Larangan itu ditarik balik selepas akhbar-akhbar utama di negara ini menyiarkan wawancara secara besar-besaran dengan menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin selepas beliau menang tanpa bertanding untuk jawatan Naib Ketua Pemuda.
Apabila ada pihak-pihak yang merungut mengapa Khairy boleh diwawancara sedangkan calon-calon tidak dibenarkan berbuat demikian, pihak ibu pejabat Umno memutuskan semua calon boleh berbuat demikian.
Tanpa larangan-larangan tersebut, calon-calon yang bertanding bebas berkempen dan mengadakan perjumpaan dengan para perwakilan bagi mendapat undi.
Larangan
Berikutan itu, kempen untuk jawatan tinggi parti hujung bulan ini kini dianggap sebagai 'terbuka untuk semua' untuk berbuat apa sahaja yang difikirkan perlu, selagi tidak membabitkan politik wang.
Bagaimanapun, untuk mengelak daripada dituduh tidak tegas melaksanakan larangan tersebut, Radzi berkata, pihak parti itu tidak pernah melarang mana-mana calon daripada berbuat demikian, selagi tidak wujud politik wang.
"Jelas, cakap itu cakap berlapik....supaya tiada pihak yang nanti menuduhkan ibupejabat Umno tidak tegas menguatkuasakan larangan-larangan tersebut," kata seorang pemimpin veteran Umno.
"Masa ada larangan tersebut pun, ada pihak yang melanggarnya, apatah lagi sekarang, tiada langsung peraturan....kita tunggu dan lihat sahajalah...," katanya.
Menurut beliau, pihak Umno sepatutnya menerima cadangan supaya para calon membelanjakan jumlah wang tertentu untuk tujuan berkempen sepertimana yang dikenakan ke atas calon-calon dalam pilihanraya umum.
"Selepas itu, sepertimana yang dilakukan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), calon-calon diwajibkan mengisytiharkan perbelanjaan masing-masing. Jika ada yang berbelanja lebih, hendaklah dikenakan tindakan," tambahnya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.