Kerajaan membentangkan bajet 2005 dengan janji untuk menghapuskan kemiskinan tegar yang membabitkan 52,900 keluarga serta membina 100,000 unit lagi rumah mampu milik supaya setiap rakyat mampu memiliki rumah sendiri.

Ketika membentangkan belanjawan tersebut, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kerajaan berazam untuk memastikan setiap rakyat dapat bersama mengecapi hasil pembangunan dan menikmati hasil kemakmuran negara.

Sehubungan itu, katanya dalam usaha menseimbangkan pembangunan bandar dan luar bandar, kerajaan juga berazam untuk menyediakan liputan sepenuhnya, kemudahan bekalan air, elektrik, telefon serta hubungan jalan, mulai 2005.

Untuk tujuan itu, katanya, RM130 juta disediakan untuk program bekalan elektrik dan RM95 juta untuk bekalan air manakala RM174 juta lagi untuk membina jalan kampung dan RM50 juta untuk menyiap dan membina jalan luar bandar. RM18.7 juta ringgit disediakan bagi meningkatkan taraf kesihatan luar bandar.

Menurutnya, bagi tempoh 1971-2003 kerajaan telah membina 490,000 unit rumah kos rendah manakala sektor swasta membina 509,000 unit untuk keluarga berpendapatan rendah.

Turut mendapat perhatian khusus kerajaan ialah usaha meningkatkan taraf hidup 147,500 Orang Asli di seluruh negara melalui peruntukan RM77.3 juta.

Orang Asli

Untuk itu, pelan komprehensif pembangunan masyarakat Orang Asli di bidang pendidikan, kesihatan, pemilikan harta dan pembangunan prasarana serta pembangunan minda, akan dilaksanakan.

Tiga program utama yang akan diteruskan ialah Program Penempatan Tersusun, Program Pembangunan Ekonomi dan Program Pembangunan Sosial.

Manakala golongan Orang Kurang Upaya (OKU) pula, Abdullah berkata, kerajaan sentiasa memastikan mereka dapat bersama berperanan dalam usaha pembangunan negara, dengan menyediakan lebih banyak kemudahan mesra OKU.

Selain itu, katanya, jurubahasa isyarat juga akan ditambah untuk membantu golongan kurang upaya pendengaran dan percakapan.

Bagi memastikan kesemua OKU menerima kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan, beliau berkata kempen mendaftar OKU akan diperhebatkan.

"Kerajaan juga mencadangkan pelepasan cukai tambahan bagi OKU dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM6,000. Bagi pasangan yang kurang upaya pula, kerajaan mencadangkan pelepasan cukai tambahan yang kini diberi sebanyak RM2,500 dinaikkan kepada RM3,500," katanya.

Manakala bagi meringankan beban ibubapa menghantar anak-anak kurang upaya mendapat pendidikan yang sewajarnya, katanya, kerajaan mencadangkan memberi elauan RM25 seorang kepada mereka yang mengikuti program Pemulihan Dalam Komuniti dan Sekolah Khas kelolaan pertubuhan sukarela kebajikan.

Orang Kurang Upaya

Katanya, kerajaan akan memastikan institusi pemulihan dan perlindungan menyediakan makanan dan minuman seimbang kepada penghuninya yang terdiri daripada golongan kanak-kanak, warga tua dan OKU.

"Kerajaan amat prihatin ke atas kebajikan penghuni institusi ini dan mencadangkan supaya perbelanjaan makanan dan minuman harian mereka dinaikkan daripada RM3.90 seorang kepada RM8 seorang," tambahnya.

Bagi menghargai sokongan dan komitmen kakitangan awam, Abdullah berkata, kerajaan bersetuju memberi mereka bonus bagi tahun 2004 yang akan dibayar pada bulan Oktober dan Disember ini.

Kakitangan berpendapatan sehingga RM1,000 sebulan, diberi bonus bersamaan satu setengah bulan gaji. Manakala yang berpendapatan melebihi RM1,000 sebulan, menerima bonus bersamaan satu bulan gaji, dengan minimum RM1,500.

Bajet kali ini, yang pertama Abdullah di Parlimen juga memperlihatkan defisit untuk kali kelapan berturut-turut, yang membabitkan perbelanjaan sebanyak RM117.8 bilion.

Dengan mengambil kira anggaran hasil RM99 bilion, defisit akaun keseluruhan kerajaan dijangka berkurangan kepada 3.8 peratus daripada KDNK.

Sebanyak RM89.1 bilion atau 75.9 peratus adalah untuk Perbelanjaan Mengurus dan RM28.3 bilion untuk Perbelanjaan Pembangunan.