Anwar boleh gugat kedudukan Najib
Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa Umno telah menutup pintunya untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dipercayai untuk 'menenangkan' penyokong-penyokong Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak di dalam parti dan kerajaan.
Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa Umno telah menutup pintunya untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dipercayai untuk 'menenangkan' penyokong-penyokong Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak di dalam parti dan kerajaan.
"Pak Lah sendiri tidak mempunyai sebarang masalah dengan Anwar...kecuali Najib yang masih dilihat sebagai 'orang kuat' Dr Mahathir Mohamad, yang menjadi musuh nombor satu Anwar dahulu," kata sumber-sumber yang rapat dengan Umno.
Bagaimanapun, katanya, kehadiran Anwar dalam Umno pastinya akan menggugatkan kedudukan Najib kerana masih ada ramai penyokong dan ahli-ahli yang bersimpati dengan Anwar di dalam Umno.
"Dan, kalau Pak Lah tidak membuat sebarang penjelasan mengenai desas-desus tentang kemasukan semula Anwar ke dalam Umno, mungkin kedudukan beliau sendiri akan tergugat, jika orang Datuk Seri Najib berbuat sesuatu," tambahnya.
Kelmarin, Pak Lah telah menjelaskan bahawa tiada sebarang perjanjian sulit antara beliau dengan Anwar untuk membawa bekas Timbalan Perdana Menteri itu, kembali ke pangkuan Umno.
Kata Pemangku Presiden Umno itu, beliau juga telah menjelaskan perkara ini kepada para menteri besar dan menteri-menteri Kabinet berikutan wujudnya desas-desus mengenai perkara tersebut.
Penyokong tegar
Menurut sumber-sumber itu lagi, ramai ahli Umno berpendapat, adalah lebih baik bagi Pak Lah mengekalkan 'status quo' dalam parti itu sekarang, daripada berbuat sesuatu sehingga boleh menjejaskan kedudukannya sendiri pada depan.
"Walaupun parti Keadilan ditubuhkan, tidak ramai ahli Umno, walaupun bersimpati dengan bekas Timbalan Perdana Menteri itu, yang keluar parti untuk menyertainya...kecuali beberapa pemimpin yang menjadi penyokong tegar Anwar...
"Kekuatan parti Keadilan sebenarnya datangnya daripada kalangan badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan-pertubuhan belia...bukan daripada ahli-ahli Umno yang keluar parti untuk menyertainya," tegasnya.
Kerana itulah, tambahnya, dalam pilihanraya umum 1999, walaupun Barisan Nasional (BN), khususnya Umno, kalah teruk, tetapi yang mengaut keuntungannya bukanlah Keadilan, tetapi sebaliknya parti-parti pembangkang lain terutamanya PAS dan DAP.
"Dan kekalahan Umno itu juga kerana ada ahli-ahli Umno yang tidak mengundi kerana membantah pemecatan Anwar...tetapi yang pentingnya mereka masih lagi di dalam Umno.
"Tidak seperti parti Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah yang dianggotai oleh ramai bekas-bekas ahli Umno selepas Umno diisytiharkan haram pada tahun 1987 dahulu," tambahnya.
Menurut sumber-sumber itu lagi, apabila Tengku Razaleigh membubarkan partinya untuk kembali kepada Umno, ramai yang menyangka beliau akan menjadi kuat semula, kerana kesemua ahli S46 akan kembali bersamanya menyertai semula Umno.
Semangat 46
"Sebaliknya, tanpa disedari Tengku Razaleigh, penyokong-penyokongnya itu menghadapi masalah untuk diterima masuk semula ke dalam Umno, kerana tindakan Umno bahagian cawangan dan bahagian yang sengaja melengah-lengahkan kelulusan permohonan mereka.
"Keadaan itu menyebabkan Majlis Tertinggi terpaksa membuat keputusan yang semua kelulusan untuk pemohonan bekas ahli S46 dihantar terus kepada MT untuk diluluskan," tegasnya.
Beliau berkata inilah perbezaan senario politik ketika Ku Li mahu balik semula menyertai Umno, sedangkan penyokong-penyokong Anwar sudahpun berada di dalam Umno.
"Kerana itulah, kebimbangan di pihak Najib seandainya Anwar diterima balik menyertai Umno amat difahami oleh Pak Lah...
"Malah, kali ini, bukan sahaja di kalangan pemimpin Umno yang merasakan Anwar tidak harus dibenarkan kembali semula ke pangkuan Umno, tetapi pemimpin parti komponen BN juga berbuat demikian.
"Misalnya, Presiden Gerakan Datuk Seri Lim Keng Yaik, dalam ucapannya di perasmian mesyuarat agung parti itu Sabtu lalu, menasihatkan Anwar supaya tidak membuat 'kacau' lagi selepas dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan baru-baru ini.

