Abim: Tidak usah ungkit sejarah lama
Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) berharap pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini akan membawa 'lembaran baru' kepada usaha penyatuan Melayu, khususnya dan Malaysia amnya.
Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) berharap pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini akan membawa 'lembaran baru' kepada usaha penyatuan Melayu, khususnya dan Malaysia amnya.
"Abim melihat pembebasan Anwar itu membuka peluang untuk mewujudkan 'perdamaian' di antara semua pihak...menyembuh luka lama dan melupakan apa yang telah berlaku, demi mewujudkan masa depan yang lebih baik," kata Presidennya Ahmad Azam Abdul Rahman.
"Ini merupakan satu kesempatan untuk memulakan usaha ke arah kesatuan dan melihat kehadapan...tak guna diungkit-ungkit perkara lama...kerana setiap tokoh negara mempunyai 'sejarah' masing-masing," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.
Anwar merupakan Presiden dan pengasas penubuhan Abim sebelum beliau melepaskan jawatan itu untuk menyertai Umno pada 1981 diatas pelawaan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad yang menjadi Perdana Menteri keempat tahun itu.
Pada tahun 1982, Anwar terpilih sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno selepas menumpaskan penyandang jawatan tersebut ketika itu, Datuk Suhaimi Kamaruddin.
Selepas memenangi kerusi Parlimen bagi kawasan Permatang Pauh, Anwar dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana di dalam Kabinet Dr Mahathir dan seterusnya meningkat sehingga ke jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Bebas
Beliau bagaimanapun dipecat daripada kerajaan dan Umno pada 1998 atas dakwaan terbabit dengan perbuatan liwat, dengan pemandu isterinya Azizan Abu Bakar.
Bagaimanapun, pada 2 September yang lalu Mahkamah Persekutuan telah membenarkan rayuan beliau dan sekaligus membebaskan Anwar daripada sabitan dan hukuman penjara bagi kesalahan tersebut.
Esok mahkamah yang sama akan membuat keputusan berhubung permohonan semakan semula hukuman bagi kesalahan rasuah terhadapnya.
Menurut Ahmad Azam, pembebasan Anwar itu juga, secara kebetulannya, berlaku ketika pucuk kepimpinan parti-parti utama di negara ini melalui perubahan.
"Kini Umno dipimpin oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Lim Guan Eng pula menerajui DAP manakala Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula memimpin PAS.
"Oleh itu Abim melihatkan senario ini membuka satu kesempatan untuk semua pihak mencari satu formula baru ke arah mewujudkan satu bangsa dan negara...jadi kami fikir perbincangan mengenai Datuk Seri Anwar harus dilihat dalam kontak pengukuhan nasional...," tambahnya.
Politik nasional
Bagi Abim, katanya, agenda pergerakan itu jelas sejak dahulu lagi di mana Malaysia bergantung kepada soal kesatuan orang Melayu yang merupakan kaum majoriti di negara ini.
"Kerana itulah, soal kesatuan bangsa dan negara Malaysia adalah berkaitan dengan kesatuan orang Melayu," tambahnya.
Menurutnya, sebarang pergolakan di kalangan orang Melayu akan memberi impak kepada politik nasional.
"Kerana soal kesatuan orang Melayu, bangsa dan negara, Abim telah menganjurkan Debat Perdana pada 2001 antara Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir dan Presiden PAS, Datuk Fadzil Nor...dan Abim akan terus memainkan peranan tersebut," katanya.
Debat Perdana itu yang disiarkan secara langsung, dianjurkan bersama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka di mana Dr Mahathir dan Fadzil berucap mengenai isu yang melanda masyarakat Palestin.
Ditanya sama ada Abim akan mengambil inisiatif yang sama untuk menganjurkan majlis seumpama yang mebabitkan Anwar dan para pemimpin daripada Umno, beliau berkata: "Tidak semestinya Abim sahaja...mana-mana pihak pun boleh menganjurkannya."


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.