Ketika pertelagahan di antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Najib Razak terus tegang, sebuah pertubuhan bukan kerajaan baru - dan misteri - muncul membuat tuduhan ke atas bekas perdana menteri itu.
Dikenali sebagai Warga Untuk Tata Kelola Pemerintahan Bertanggungjawab (CAGM), pengerusinya Md Zainal Abdin berkata, berbilion ringgit wang pembayar cukai dibazirkan ketika Dr Mahathir menjadi perdana menteri antara 1981 hingga 2003.
"Sudah sampai masa untuk Dr Mahathir menjelaskan semua skandal kewangan dan menjawah pertanyaan rakyat Malaysia mengenai kesilapan pentadbirannya.
"Jika beliau gagal CAGM yang mewakili sekumpulan warga Malaysia yang prihatin tidak teragak-agak memfailkan saman sehingga RM50 bilion terhadap Dr Mahathir," katanya dalam kenyataan hari ini.
Di bawah pentadbiran Dr Mahathir, kata Md Zainal, ada banyak skandal kewangan yang dibiarkan berlalu dan menyebabkan kerugian kepada negara.
Najib pun tak terlepas
"Malaysia terdedah kepada usaha penyelamatan berbilion ringgit, projek mewah dan pembaziran melalui usaha sama sangat diragui ketika Dr Mahathir berkuasa," katanya.
Menurut Md Zainal, rakyat Malaysia berhak mendapat jawapan daripada pemimpin dan ia mesti dimulakan dengan Dr Mahathir kerana "dianggarkan RM100 bilion salah laku terjadi di bawah pengawasan" beliau.
Ia juga, kata Md Zainal, dilaporkan meluas dalam media tempatan dan luar negara.
"Kami akan menuntut jawapan daripada Najib juga nanti," katanya.
Ketika dihubungi, Md Zainal menafikan CAGM menyasarkan Dr Mahathir secara khusus.
Katanya, Najib juga akan dituntut memberikan penjelasan apabila Dr Mahathir dapat memberikan jawapan memuaskan.
"Kami tidak memihak kepada sesiapa," katanya.
Md Zainal berkata, Najib belum dijadikan sasaran kerana perdana menteri sudah melakukan apa yang sepatutnya, seperti mengarahkan Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) menyiasat syarikat 1Malaysia Development Bhd.
"Jadi kami memberi sedikit masa kepada Najib sementara kami terus menuntut jawapan daripada Dr Mahathir dan Tun Abdullah Ahmad Badawi," katanya.
Menurut peguam itu, CAGM ditubuhkan sebulan lalu dan dianggotai kira-kira 2,000 ahli.