Kolej Teknologi Timur (KTT) mendakwa ada pihak-pihak tertentu yang sengaja mengedarkan e-mel melalui Internet dan menyebarkan surat layang yang memburuk-burukkan imej kolej tersebut di mata umum.

Pada masa ini, kolej tersebut yang pernah terpilih sebagai kolej terbaik antara 18 Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) pada 2001, mendapat kepercayaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Mara untuk menempatkan pelajar tajaan mereka mengikut A-Level di situ.

Pengarah dan Ketua Eksekutif KTT Datin Hajah Norayini Ali berkata, KTT yang ditubuhkan 10 tahun lalu, adalah antara kolej Bumiputera yang berjaya dalam mengendalikan kursus Matrikulasi dan kursus peringkat diploma dengan kerjasama universiti-universiti tempatan.

Kolej tersebut yang terletak Bandar Baru Salak Tinggi di Sepang kini mempunyai kira-kira 1,000 pelajar kursus Matrikulasi dan pengajian peringkat diploma.

Menurut Norayini, KTT memulakan pengambilan pelajar A-Level tajaan JPA seramai 65 orang pada Jun tahun lalu. Kira-kira 20 daripada mereka adalah pelajar bukan Bumiputra.

Manakala bagi Julai tahun ini, JPA menghantar 41 lagi pelajar tajaan manakala Mara pula menghantar 91 pelajar tajaannya bagi mengikuti kursus A-Level di KTT. Kira-kira separuh daripada pelajar terbabit adalah bukan Bumiputera.

Menurut Norayini, selepas selesai mengikuti kursus A-Level di KTT, JPA dan Mara akan menghantar pelajar tajaan masing-masing mengikuti bidang perubatan di Indonesia dan India.

"Kandungan e-mel dan surat layang tersebut hanya menyentuh mengenai kursus A-Level di mana penulis mendakwa KTT tidak menyediakan kemudahan secukupnya serta pensyarah berkelayakan untuk mengejar pelajar-pelajar terbabit," tambahnya.

Diploma

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya tidak pernah menerima sebarang aduan atau surat layang mengenai kursus matrikulasi atau kursus peringkat diploma yang dikendalikan oleh KTT selama ini.

"Kerana itulah, saya kesimpulan bahawa mereka yang terbabit melakukan semua ini memang berniat untuk memburuk-burukkan imej KTT di mata awam," tegasnya.

Berikutan itu, katanya, beliau telahpun membuat laporan polis berhubung pengedaran e-mel yang memburukkan KTT pada Mei lalu.

Katanya, beliau mengambil keputusan untuk membuat laporan polis tersebut selepas mendapati kandungan e-mel itu telah "menghina" dirinya dan juga para pensyarah kolej tersebut dengan panggilan yang "amat menjijikkan".

Di samping itu, katanya, isu kandungan e-mel tersebut juga mempunyai unsur-unsur perkauman apabila penulisnya mendakwa pelajar bukan Bumiputera tidak diberi peluang secukupnya, KTT dikatakan terlalu mementing kemajuan pelajar Bumiputera sahaja.

"Tuduhan ini memang tidak benar kerana di KTT juga terdapat pensyarah India dan Cina," kata Norayini.

Katanya, berdasarkan apa tercatat pada e-mel tersebut, ianya dihantar pada jam 3.23 pagi 29 April 2004 di bawah alamat e-mel viper_00193@yahoo.com .

Tajaan

Malah, katanya, pengirim e-mel tersebut juga telah menggesa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya tidak lagi menghantar pelajar tajaannya melanjutkan pelajaran di KTT.

Katanya, ini t terbukti apabila beliau dipanggil oleh JPA, Mara dan Kementerian Pelajaran untuk menjawab segala tuduhan yang terkandung di dalam e-mel tersebut.

"Oleh kerana tidak apa yang hendak kami selindungikan, saya pergi menemui mereka berhubung perkara tersebut," tambahnya.

Bagaimanapun, baru-baru ini, satu lagi surat layang telah diedarkan, juga mendakwa pelajar A-Level di KTT tidak diberi kemudahan secukupnya di samping para pensyarahnya pula dikatakan tidak layak mengajar.

"Bagi kami, sekiranya pelajar atau ibu bapa mereka ada apa-apa masalah, pintu pejabat saya sentiasa terbuka untuk menerima mereka dan membincangkan sebarang perkara berbangkit," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menyedari mengenai penyebaran surat layang memfitnah kolej tersebut apabila dipanggil oleh pihak penaja seperti JPA dan Mara untuk memberi penjelasan mengenai apa yang dibangkitkan di dalam surat-surat layang tersebut.

"Kesemua dakwaan yang dibuat melalui surat-surat layang dan e-mel tersebut membabitkan pelajar A- Level sahaja, seperti dakwaan mengenai pensyarah tidak cekap, tidak boleh berbahasa Inggeris, kemudahan makmal dan sebagainya," tambah beliau.

Teguran

"Sehingga ini, kami tidak menghadapi sebarang masalah dengan pelajar-pelajar lain (Matrikulasi dan Diploma), kecuali dengan pelajar A-Level sejak kolej saya memulakan pengambilan mereka tahun lalu," katanya.

Menurut beliau segala teguran daripada pihak penaja dan Kementerian Pelajaran sendiri telah diambil perhatian oleh pihak KTT dan telah melakukan seperlunya.

Katanya, sebagai bekas seorang guru dan bekas kakitangan awam, beliau sentiasa bersifat terbuka dalam menerima sebarang teguran demi kebaikan para pelajar di kolej tersebut.

"Lagi pula, saya dan juga Pengurus Hal-Ehwal Akademik, Encik Mohd Razib Muzaid, telah berpengalaman mengendalikan kursus A-Level ketika bersama Yayasan Pelajaran Mara

"Tetapi jika masih ada surat-surat layang diedarkan, kesimpulan saya ialah pihak-pihak terbabit memang berhasrat untuk menjatuhkan nama baik saya dan kolej saya di mata umum.

"Jika keadaan memerlukan, saya akan membuat laporan polis lagi dan menimbang sebarang tindakan undang-undang berkaitan perkara tersebut," tambahnya.

Norayini bagaimanapun mengakui bahawa pihaknya menghadapi sedikit masalah dengan sikap para pelajar A-Level yang tidak putus-putus mempertikaikan kewibawaan para pensyarah mereka.

Pensyarah

"Seorang pensyarah telah putus asa dan berhenti kerana tidak tahan dengan sikap para pelajar terbabit... Yang peliknya, beliau yang didakwa oleh pelajar terbabit tidak bagus...kini menjadi pensyarah kimia di Universiti Sains Malaysia (USM).

"Sekiranya beliau tidak bagus, bagaimana pihak USM boleh menerima beliau mengajar di universiti tersebut....inilah masalah dengan pelajar-pelajar terbabit," katanya.

Mengenai dakwaan dalam surat layang tersebut hanya satu pertiga daripada pelajar A-level di KTT yang mendapat 4A, Norayini berkata, setiap pelajar dimestikan mendapat minimum 12 daripada 20 markah maksimum untuk layak dihantar ke luar negara.

Menurutnya, kesemua pelajar tajaan JPA di tahun sekarang telah ditetapkan oleh jabatan berkenaan untuk meneruskan pengajian mereka dalam bidang perubatan di India dan Indonesia.

"Seandainya ada ibubapa yang tidak berpuashati anak-anak akan dihantar melanjutkan pelajaran ke India dan Indonesia, mereka sepatutnya mengemukakan perkara itu kepada penaja anak-anak mereka JPA ataupun Mara," katanya.

Dalam peperiksaan tahun satu baru-baru ini, 22 pelajar mendapat 4A atau 20 markah, sembilan lagi mendapat 19 markah, tujuh pelajar (18 markah), 12 pelajar (17 markah), dua pelajar (16 markah), lapan pelajar (15 markah), tiga pelajar (14 markah), seorang pelajar (13 markah) dan seorang lagi (12 markah).

Sambil menunjukkan senarai keputusan tersebut kepada, Norayini berkata, kalau berdasarkan prestasi tersebut, kesemua mereka lulus dengan baik.

"Jadi di mana lagi yang tidak kena dengan mereka ini...sehingga ini tidak seorangpun daripada pelajar terbabit yang datang bersemuka dengan saya untuk berbincang mengenai apa juga masalah yang mereka hadapi," katanya.

Lagi pula, katanya, pegawai JPA dan Mara telah datang melihatkan sendiri kemudahan yang disediakan di KTT sebelum memutuskan untuk menghantar pelajar tajaan mereka ke KTT.