Lebih 40 peratus responden dalam tinjauan pendapat dalam organ rasmi PAS, Harakah Online - tidak begitu pasti sama ada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan kembali menjadi tunggak Barisan Alternatif (BA) selepas dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan baru-baru ini.

Walaupun kesemua responden tersebut seramai 8,918 orang setakat jam 6 petang hari ini mungkin bukan ahli-ahli PAS, tetapi sebahagian mereka boleh dianggap sebagai penyokong parti itu.

Oleh itu, keputusan tinjauan pendapat itu secara tidak langsung mencerminkan ada di kalangan ahli dan penyokong PAS yang masih belum yakin Anwar akan kembali menjadi tunggak BA dan pembangkang.

Ini ditambah pula dengan spekulasi hebat mengenai kemungkinan Anwar kembali semula ke pangkuan Umno, walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Anwar sendiri telah menafikannya.

Walaupun 57.20 peratus atau 5,101 responden berpendapat Anwar akan kembali menjadi tunggak BA dan pembangkang, tetapi sebanyak 42 peratus lagi (3,817) memilih pilihan lain mengenai halatuju politik beliau selepas ini.

Dalam tinjauan pendapat online yang bertajuk " Ke manakah Anwar selepas ini?" , responden diberi lima pilihan - Kembali memimpin Umno , Menjadi tunggak BA dan pembangkang , Menggabungkan BA dan BN , Menjadi tunggak penyatuan Melayu , Lain-lain arah .

Seramai 1,303 responden masih percaya Anwar akan kembali semula ke pangkuan Umno. Seramai 1,568 atau 17.58 peratus responden percaya Anwar akan menjadi tunggak penyatuan Melayu.

Kenyataan baru

Manakala 388 atau 4.35 peratus responden lagi berpendapat Anwar akan memilih lain-lain arah.

Pada 2 September lalu, Mahkamah Persekutuan telah membebaskan Anwar daripada sabitan dan hukuman bagi kesalahan meliwat. Bagaimanapu, mahkamah yang sama mengekalkan sabitan dan hukuman salahgunla kuasa ke atasnya.

Ini bermakna, Anwar dilarang mengikut undang-undang daripada aktif dalam politik bagi tempoh selama lima tahun dari tarikh beliau selesai menjalani hukuman penjara bagi kesalahan salahguna kuasa, pada tahun lalu.

Spekulasi mengenai kemungkinan Anwar kembali semula ke pangkuan Umno menjadi panas selepas pembebasan beliau awal bulan, termasuk andaian wujudnya perjanjian sulit di antara beliau dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Bagaimanapun, Abdullah telah menafikan perkara tersebut. Malah, Majlis Tertinggi Umno kemudiannya membuat keputusan bahawa Anwar tidak akan diterima kembali semula ke dalam Umno.

Anwar juga mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak bercadang untuk kembali ke pangkuan Umno. Anwar kini menjalani rawatan susulan selepas pembedahan bahagian tulang belakangnya di Munich, Jerman.

Dalam satu lagi kenyataannya semalam, Anwar berkata beliau tidak pernah memohon untuk menyertai semula Umno atau memberi sebarang bayangan atau menunjukkan minatnya untuk menyertai parti itu.

Menurutnya, isu mengenai beliau akan menyertai semula Umno selepas pembebasannya dari penjara ditimbulkan oleh 'beberapa pemimpin Umno' yang 'gelisah dan takut' dengan pembebasannya itu.