Apakah ianya sudah menjadi satu penentuan bahawa Ketua Pemuda Umno mesti datangnya dari kalangan mereka yang mempunyai kaitan kekeluargaan dengan Perdana Menteri?

Perhimpunan Agung Umno kali ini akan menempah satu lagi sejarah kemunculan seorang lagi bakal peneraju Pergerakan Pemuda Umno yang mempunyai kaitan kekeluargaan dengan Perdana Menteri.

Selepas pergerakan itu dipimpin dua anak bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Hishammuddin Tun Hussein kini tiba giliran Khairy Jamaluddin menantu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjawat jawatan Naib Pemuda Umno.

Perhimpunan Pemuda Umno esok akan mengesahkan Hishammuddin sebagai Ketua Pemuda Umno dan Khairy pula sebagai Naib Ketua Pemuda. Kedua-dua menang tanpa bertanding selepas selesai mesyuarat perwakilan Pemuda bahagian Julai lalu

"Khairy hanya perlu menunggu tiga tahun lagi untuk mengambil kepimpinan Pemuda Umno dari tangan Datuk Hishammuddin yang berjanji akan melepaskan jawatannya selepas penggal ini," kata seorang pemerhati politik tempatan.

Oleh itu, katanya, selepas sepenggal atau tiga tahun memimpin pergerakan itu, Khairy bakal menerajuinya dan atas jawatan Ketua Pemuda Umno, beliau sekaligus menjadi salah seorang Naib Presiden Umno.

Hirarki Umno

Terdapat enam penyandang jawatan Naib Presiden tiga dipilih melalui Perhimpunan Agung Umno manakala tiga lagi ialah Ketua Pemuda, Wanita dan Puteri Umno.

Dan pemilihannya sebagai Naib Ketua Pemuda Umno adalah satu permulaan yang terlalu baik untuk Khairy yang sekaligus meletakkannya hanya beberapa meter sahaja lagi daripada jawatan Naib Presiden Umno.

"Apabila menjadi Ketua Pemuda Umno, Khairy secara automatik menjadi Naib Presiden Umno...ini bermakna beliau telah mengesahkan kedudukannya dalam hirarki parti, dan menganggotai kumpulan tertinggi yang menentukan dasar-dasar parti.

"Jadi menjadi Naib Presiden, takkan lah Khairy hendak bertanding jawatan MT pula. Pastinya beliau akan bertanding jawatan Timbalan Presiden...semuanya seperti telah diatur untuk beliau...," katanya.

Bagaimanapun, katanya, semua ini akan menjadi kenyataan seandainya Hishammuddin berpegang pada janjinya untuk melepaskan jawatan tersebut tiga tahun lalu.

Pusingan terakhir

"Jika tidak, bererti terencatlah laluan mudah politik untuk Khairy. Ini kerana tidak had umur ditetapkan untuk penyandang jawatan Ketua Pemuda Umno," tegasnya lagi.

Manakala seorang lagi pemerhati politik berpendapat, pemilihan Umno ini, khususnya bagi jawatan Majlis Tertinggi Umno, akan menjadi pelengkap kepada perubahan yang mahu dibawa oleh Abdullah dalam Umno.

"Berikutan persempadanan semula kawasan pilihanraya sebelum ini, semua ahli jawatankuasa (AJK) Umno bahagian dibubarkan dan diganti dengan AJK penaja di mana hanya segelintir sahaja ketua bahagian yang digugurkan.

"Bagaimanapun, ketika pemilihan calon-calon dari Umno untuk pilihanraya umum yang baru lalu, ramai juga AJK Umno bahagian yang tidak dipilih semula untuk bertanding, dan tempat mereka diganti dengan muka-muka baru," tambahnya.

Katanya, pemilihan ahli MT kali ini akan menjadi pelengkap kepada senarai kepimpinan Umno di peringkat tertinggi yang mahu dikemukakan oleh Abdullah untuk kesinambungan parti itu di masa depan.