Jalan keluar bagi mengurangkan politik wang ialah dengan menghadkan tempoh seseorang itu menjadi presiden pada sekadar tiga penggal sahaja, kata ahli Majlis Tertinggi Umno, Tengku Razaleigh Hamzah.

"Pada hemat saya, kalau seseorang itu jadi presiden atau perdana menteri untuk jangka masa yang lama, semua kuasa, termasuk kuasa polis dan kuasa wang di tangan mereka.

"Mana ada yang berani nak lawan? Semuanya takut dan " Yes Bos ", walhal Umno itu bukan milik individu tertentu. Umno bukan milik keluarga," katanya dalam wawancara dengan sebuah tabloid politik Era Baru yang diedar di Perhimpunan Agung Umno hari ini.

Malah, kata Tengku Razaleigh, Umno juga tidak perlu ada jawatan Timbalan dan Naib Presiden Umno.

"Memadailah kalau lantik 50 orang Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno. Kalau Perdana Menteri nak cari timbalannya, carilah di kalangan 50 orang ahli MT.

"Contohnya, ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari Umno dan kerajaan, huru hara parti dibuatnya, betapa susahnya Dr Mahathir (Mohamad) nak cari timbalannya.

"Nama (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) yang naik, tetapi Dollah (Pak Lah) yang terpilih. Selepas itu, bukan senang nak redakan gelora di hati ahli-ahli Umnol. Haru dibuatnya," tambah beliau.

Tidak layak bertanding

Sambil menegaskan bahawa ini adalah pandangan peribadinya, beliau berkata, apa yang disarannya itu bukanlah untuk dirinya, tetapi untuk lebih 3 juta ahli-ahli Umno.

Tengku Razaleigh turut menawarkan dirinya bertanding jawatan Presiden Umno dalam Perhimpunan Agung Umno kali ini, tetapi gagal mendapat jumlah pencalonan yang mencukupi untuk layak bertanding jawatan tersebut.

"Umno dah berubah zaman dan Umno sudah besar acuannya," tambahnya.

Bagaimanapun, Tengku Razaleigh menegaskan bahawa beliau tidak iri hati, tidak pernah tamak, tetapi apa yang dilakukannya ialah untuk Umno dan orang Melayu.

"Kita jadi pemimpin untuk memimpin orang Melayu, bukan kita jadi pemimpin untuk memimpin keluarga kita jadi kaya raya. Itu salah," tambah beliau.

Mengenai masa depan politiknya, Tengku Razaleigh berkata: "Agenda saya untuk masa depan orang Melayu dan negara ini, tidak lebih daripada itu."

"Selama 44 tahun saya bersama Umno dah lihat jatuh bangun orang Melayu bersama Umno. Sebenarnya orang Melayu masih jauh ketinggalan di belakang. Kita cakap sahaja Melayu berubah dan negara maju tetapi Melayu ditakuk lama juga.

"Saya ingin ulangi bahawa Umno adalah milik tiga juta ahli-ahlinya, dan bukan milik individu dan keluarga tertentu.

"Kalau Umno hendak dipusakai oleh individu tertentu sahaja, itulah sebenarnya punca perpecahan dalam Umno, bukan kerana politik wang dan bukannya kerana saya seorang yang kerdil ini," katanya.