Isu Anwar: Itu pandangan Hishammuddin
Ada di kalangan perwakilan Pemuda Umno Malaysia yang tidak bersetuju dengan ucapan Datuk Hishammudin Tun Hussein yang mahukan pergerakan itu menolak kemasukan semula Datuk Seri Anwar Ibrahim ke dalam Umno.
Ada di kalangan perwakilan Pemuda Umno Malaysia yang tidak bersetuju dengan ucapan Datuk Hishammudin Tun Hussein yang mahukan pergerakan itu menolak kemasukan semula Datuk Seri Anwar Ibrahim ke dalam Umno.
Sekumpulan perwakilan yang menemui
malaysiakini
berkata, soal kemasukan semula Anwar ke dalam Umno tidak sepatutnya ditimbulkan dalam ucapan dasar Ketua Pemuda Umno semalam, kerana bekas Timbalan Perdana Menteri itu, tidak pernah memohon untuk berbuat demikian.
"Malah, ramai antara perwakilan Pemuda yang saya temui tidak bersetuju dengan tindakan Datuk Hishammuddin membangkit isu Anwar dalam ucapannya sekarang," kata salah seorang perwakilan berkenaan.
"Malah, yang menjadi persoalan di kalangan mereka, apakah pandangan Datuk Hishammuddin mencerminkan pandangan semua para perwakilan, atau merupakan luahan hatinya sendiri, kerana bimbangkan perkembangan terbaru itu," tambahnya.
Sebenarnya, kata beliau, kebanyakan perwakilan berpendapat bahawa apa-apa yang berkaitan dengan Anwar bukanlah isu yang boleh menggugatkan kedudukan Umno.
"Umno sudah kuat ... lihat sahajalah keputusan pilihanraya umum lalu, Barisan Nasional menang besar, dan antara sebab utamanya ialah ramai calon Umno menang kerusi masing-masing," katanya.
Menang besar
Dalam pilihanraya umum Mac lalu, Umno memenangi 109 daripada 117 kerusi Parlimen yang diperuntukkan kepada parti dan 303 daripada 338 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Datuk Seri Anwar kini bebas ... biarlah dia membuat keputusan sendiri mengenai haltuju masa depan politiknya ... lagi pula beliau bukanlah menjadi isu yang boleh menggugat Umno...," tambahnya.
Oleh itu, katanya, tidak perlulah mana-mana pihak Umno untuk mengembar-gemburkan isu pembebasan Anwar awal bulan ini.
"Itu keputusan mahkamah yang kita semua kena hormati ... tak tahulah kami kalau pembebasan itu menyebabkan ada pemimpin-pemimpin dalam Umno, khususnya Pemuda Umno yang rasa tergugat ... bagi kami ia bukannya isu yang perlu dibimbangkan..." katanya.
Malah, katanya, ramai ahli akar umbi Umno yang merasa lega dengan pembebasan Anwar yang menjadi sebab utama BN, khusus Umno kalah teruk dalam pilihanraya umum 1999, termasuk ke hilangan Terengganu kepada PAS.
"Pada masa ini, ia bukan lagi isu besar yang boleh menggugat kita ... malah kita sudahpun merampas semula Terengganu dari PAS dan menang di hampir separuh kerusi Parlimen dan DUN di Kelantan...," katanya.
Beliau berkata, sepatutnya ucapan Hishammuddin itu ditumpukan kepada soal-soal dalam parti dan isu-isu membabitkan bangsa Melayu yang perlukan pembelaan parti.
Malah, katanya, Hishammuddin juga tidak sepatutnya melabel Anwar sebagai pengkhianat parti yang tidak harus diterima semula kembali ke pangkuan Umno.
Tutup pintu
"Habis macammana dengan Tengku Razaleigh Hamzah yang pernah bertanding menentang presiden parti sehingga membawa kepada pengharaman Umno pada 1998. Beliau kemudiannya menubuhkan parti Semangat 46...
"Beliau membubarkan parti itu dan kembali semula ke dalam Umno... Bagaimana pula dengan Datuk Seri Rais Yatim yang ketika berada dalam Semangat 46 dulu, berkata telah "membakar jambatan" dan tidak akan kembali semula ke pangkuan Umno.
"Beliau juga kembali semula ke dalam Umno, malah kini menjadi Menteri Kabinet ... Bagaimanapula dengan Datuk Radzi Sheikh Ahmad yang kini menjadi Setiausaha Agung Umno....
"Kalau Datuk Seri Anwar dilabelkan sebagai 'pengkhianat' kerana pernah melawan Umno ... jadi bagaimana dengan mereka ini... apa kita nak panggil mereka...," tambah.
Kerana itulah, katanya, Hishammuddin sepatutnya mengkaji terlebih dahulu kesan daripada ucapannya itu, bukan sahaja terhadap pergerakan tersebut, tetapi juga terhadap mereka yang telahpun kembali ke pangkuan Umno.
Selain Hishammuddin, Ketua Wanita Umno Datuk Seri Rafidah Aziz dan Ketua Puteri Umno, Datuk Azalina Othman turut mengecam Anwar dan meminta parti itu menutup terus pintunya kepada Anwar.

