Sebahagian besar calon-calon yang berjaya terpilih menduduki kerusi Majlis Tertinggi (MT) Umno adalah terdiri daripada mereka yang memang disenangi dan rapat dengan ahli-ahli akar umbi parti.

"Kerana itulah saya tidak terperanjat apabila Tan Sri Mohd Isa Samad memperolehi undi tertinggi untuk jawatan Naib Presiden. Begitu juga dengan Datuk Mohd Ali Rustam...," kata Datuk Annuar Musa yang turut terpilih mengganggotai Majlis Tertinggi Umno, semalam.

"Saya sendiri telah menjelajah lebih 140 bahagian Umno untuk menemui ahli-ahli akar umbi...Saya amat bersyukur kerana turut terpilih menganggotai MT," katanya kepada malaysiakini hari ini.

Dalam pemilihan semalam, Mohd Isa mendapat 1,507 undi, diikuti oleh Mohd Ali (1,329) dan Tan Sri Muhyiddin Yasin (1,234).

Annuar berjaya mempertahankan kerusi MT dengan menduduki tempat kelapan dengan memperolehi 1,668 undi.

"Mereka memang mudah dirapati dan ditemui oleh ahli-ahli akar umbi sepanjang masa....jadi sudah tentunya mereka menjadi pilihan para perwakilan yang mengundi sekarang," katanya lagi.

Tewas

Selain itu, beliau percaya, kemenangan mereka disebabkan sokongan padu daripada perwakilan dari kumpulan G7, iaitu, mereka yang terpilih sewaktu mesyuarat bahagian.

Satu kumpulan perwakilan lagi dikenali sebagai G6 yang terdiri dairpada ketua, timbalan dan naib ketua bahagian, ketua Wanita, Pemuda dan Puteri Umno yang terpilih secara automatik menjadi perwakilan kerana memegang jawatan di peringkat bahagian.

Mengenai ada segelintir menteri-menteri tewas dalam pemilihan semalam, Annuar berkata, mereka ini mungkin hanya dikenali oleh perwakilan daripada kumpulan G6 sahaja.

"Kerana mereka memegang jawatan di peringkat bahagian, maka mereka kenalilah menteri-menteri tersebut....," katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, mereka tidak begitu dikenali oleh perwakilan daripada kumpulan G7 yang sebenarnya mewakili suara ahli-ahli akar umbi di tempat masing-masing.

Mengenai Tan Sri Isa, Annuar berkata, selain mudah didekati, beliau juga sudah beberapa bertanding bagi jawatan Naib Presiden Umno sebelum ini.

Ditanya apakah keputusan yang dianggap mengejutkan ada kaitan dengan politik wang, Annuar berkata: "Saya tidak mahu bercakap perkara-perkara yang saya tidak pasti..."

Seorang lagi pemimpin Umno Kelantan yang berjaya dipilih untuk pertama kali menduduki MT ialah Datuk Awang Adek.

Kebijaksaannya

Menurutnya, keputusan semalam, walaupun mempunyai kejutan, adalah merupakan satu proses perubahan yang berterusan ke arah memperkukuh lagi kedudukan Umno.

"Dengan cara ini, parti akan melalui proses perubahan yang diserapkan dalam satu kumpulan bagi mengekalkan kestabilan dan kebijaksanaan beberapa muka baru masuk...dan beberapa orang lama bersara..

"Kita tidak boleh melihat yang baru telah 'keluarkan' orang lama...tidak sewajarnya dilihat seperti itu...tetapi ia satu proses perubahan yang berterusan yang akan memperkuatkan lagi parti," katanya.

Sementara itu seorang perwakilan yang namanya disebut berpendapat kerana sepanjang kempen sebelum ini, tidak banyak yang dipercakapkan mengenai Mohd Isa.

"Sebaliknya, kempen-kempen adalah mengenai calon-calon yang dikatakan berpeluang cerah untuk menang...macam-macam orang cerita, jadi para perwakilan buat keputusan untuk memilih calon lain...dan ianya termasuk Tan Sri Mohd Isa," katanya.

Lagi pula, katanya, Mohd Isa memang dikenali sebagai seorang amat peramah dan senang di dampingi rakyat.