100 pemilik Pusat Bertauliah MLVK Bumiputera bakal gulung tikar
Gabungan Institut Pendidikan Bumiputera Malaysia yang mewakili lebih 100 Pusat Bertauliah (PB) Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) Bumiputera, mengambil kesempatan daripada Perhimpunan Agung Umno untuk mengutarakan masalah mereka yang hampir gulung tikar pembekuan Tabung Pembangunan Kemahiran (TPK) awal tahun lalu.
Gabungan Institut Pendidikan Bumiputera Malaysia yang mewakili lebih 100 Pusat Bertauliah (PB) Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) Bumiputera, mengambil kesempatan daripada Perhimpunan Agung Umno untuk mengutarakan masalah mereka yang hampir gulung tikar pembekuan Tabung Pembangunan Kemahiran (TPK) awal tahun lalu.
Berikutan itu, sebuah memorandum bertarikh 23 September 2004 yang dihantar kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah diedarkan di persidangan tersebut. Memorandum tersebut ditandatangani oleh Pengerusi gabungan tersebut, Nordin Abdul Malek.
Dan hari ini, seorang perwakilan yang membahaskan isu sosial ekonomi telah menimbulkan rayuan gabungan tersebut dan menggesa Umno memberi perhatian terhadap perkara itu.
Dalam memorandum tersebut, Nordin berkata PB tersebut kini dalam keadaan 'nazak' kerana sedang menanggung kerugian RM1.9 bilion yang berpunca daripada pembekuan TPK bagi tahun 2003 dan 2004.
Pada tahun 2003, katanya, gabungan tersebut telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Sumber Manusia, serta telah menghantar memorandum kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, tetapi masalah itu masih belum selesai.
"Kerjasama dan sokongan melibatkan agensi Melayu seperti MARA dan parti politik seperti Pergerakan Pemuda Umno, gagal meraih penyelesaian," katanya.
Pada tahun ini, isu tersebut telah dibentangkan secara bersama oleh Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Bertambah parah
"Sebagai alternatif, persatuan telah mendapat kerjasama institusi kewangan untuk pinjaman pelajar, tetapi syarikat minima bank pun sukar dipenuh pelajar," tambahnya.
Berikutan itu, beliau bagi pihak gabungan tersebut, meminta Timbalan Perdana Menteri sendiri menyelesaikan masalah serta merta menjadi bertambah parah.
"Kerajaan menerusi JPM diminta menyediakan dana khas berbentuk pembiayaan terus sebanyak RM150 untuk diagih kepada 30,000 pelajar untuk mendapatkan latihan di 100 PB bumiputera yang masih wujud.
Menurut Nordin, masalah yang mereka hadapi juga disebabkan dasar pengurusan, pengagihan dan pembayaran yang tidak konsisten serta tidak telus yang menyebabkan ketidakyakinan pelajar, ibubapa serta masyarakat terhadap MLVK.
Oleh itu, gabungan itu juga menggesa kerajaan supaya memastikan jawatan-jawatan utama dalam Kementerian Sumber Manusia diterajui oleh pegawai-pegawai Melayu yang berwibawa.
Menurutnya, jika tiada bantuan segera daripada kerajaan dalam masa terdekat ini. 100 PB yang masih beroperasi sekarang, juga akan menggulung tikar pada bila-bila masa kerana menanggung hutang atau akan diisytiharkan muflis.
"Pengusaha PB berdepan dengan risiko tindakan mahkamah oleh pihak bank, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), penyewa bangunan, pembekal dan lain-lain lagi sehingga ke peringkat mengancam keselamatan diri, perniagaan dan keluarga," katanya sambil menambah, sehingga 80 peratus daripada kira-kira 10,000 pekerja PB terpaksa diberhentikan.

