PAS digelar Parti Anak Sekilau
Perwakilan Umno Terengganu menyifatkan parti pembangkang PAS sebagai 'Parti Anak Sekilau' sejenis ikan laga kerana sifat ahli dan pemimpin parti itu yang menurutnya sentiasa mahu "berlaga".
Perwakilan Umno Terengganu menyifatkan parti pembangkang PAS sebagai 'Parti Anak Sekilau' sejenis ikan laga kerana sifat ahli dan pemimpin parti itu yang menurutnya sentiasa mahu "berlaga".
Manakala perwakilan dari Pulau Pinang pula memanggil PAS sebagai "Parti Ikan Semilau" dan perwakilan Johor pula menggelar parti itu "Parti Ikan Sembilang".
"Anak ikan sekilau ini bukan cantik sangat ... Ikan ini suka sangat menunjuk-menunjuk ... kalau tidak belaga tidak sah ... kerana itulah kami di Terengganu panggil parti itu Parti Anak Sekilau," kata perwakilan tersebut, Ramli Mohd Nor ketika membahas usul agama di perhimpunan hari ini.
Kerana sifatnya sedemikian, katanya, parti tersebut amat angkuh dan tidak ada sifat sopan sepertimana yang diperlihatkan oleh pemimpinnya ketika mengambil alih pemerintahan negeri Terengganu pada 1999.
"Di Terengganu, kita mengambil langkah untuk melaksanakan Islam Hadhari. Langkah pertamanya ialah menunjukkan bahawa orang melayu yang beragama Islam, ada adat sopannya. Itulah yang lakukan ketika mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri baru-baru ini.
"Pada 1999 kita mempunyai empat kerusi negeri, lawan 28 kerusi pembangkang. Tapi selepas Mac 2004 lalu, kedudukannya berubah ... kita dapat 28 (kerusi) dan pembangkang empat," tambahnya.
Manis di mata rakyat
Katanya, Umno Terengganu mampu merampas semula Terengganu dari PAS kerana pemimpin parti itu yang telah bermuhasabah atas kekalahan parti itu pada 1999.
"Tempoh empat tahun lalu telah memberi peluang untuk kita melihat pada diri sendiri. Inilah unsur-unsur Islam Hadhari dalam diri kita, iaitu sentiasa muhasabah. Jadikan Islam Hadhari sebagai pendekatan terbaik untuk letak Umno di tempat terbaik dan manis di mata rakyat," tambahnya.
Menurutnya, selagi Umno terus bermuhasabah, parti itu akan terus kekal di Terengganu.
"Para pemimpin kita mesti faham konsep Islam Hadhari. Kita hendaklah sentiasa bersama-sama untuk melaungkan bahawa pembangunan kita adalah atas konsep Islam Hadhari," tambahnya.
Bagaimanpun, beliau mengingatkan ahli-ahli Umno supaya tidak terpengaruh dengan dakyah parti pembangkang yang mahu memperlekehkan konsep Islam Hadhari yang mahu diperjuangkan oleh Umno.
Tambah kakitangan Jakim
Sementara itu, perwakilan dari Pulau Pinang, Shahabuddin Yahya pula menggesa Jabatan Perkhidmatan Awam supaya menambah kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Negeri bagi menjayakan konsep Islam Hadhari itu.
"Tambah kakitangan Jakim dan jabatan-jabatan agama itu ... Malah, untuk kuatkuasakan tanda halal pun tidak cukup kakitangan. Juga jangan jadikan jabatan-jabatan tersebut sebagai tempat letak pegawai yang disejukbekukan....," tambahnya.
Wakil dari Johor pula, Shahrir Mat Jamaluddin pula menggesa supaya RTM dan stesen TV swasta menayangkan lebih banyak siri drama masyarakat yang berasaskan konsep Islam Hadhari.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.