Khairy Jamaluddin percaya pasukan petugas khas akan menyiasat setiap dakwaan berkaitan, termasuk tuduhan terbaru Sarawak Report bahawa RM2 juta dideposit ke dalam akaun bank dikatakan milik “Rosmah Binti Mansor (Datin Sri)”.

Diminta mengulas perkara itu, Khairy berkata jika terdapat maklumat baharu muncul ia sudah pasti akan turut disiasat.

"Saya pasti semuanya akan disiasat termasuk tuduhan baharu itu.

“Tiada siapa terkecuali daripada undang-undang," beliau dipetik sebagai berkata oleh Bernama .

Pasukan itu terdiri daripada Pejabat Peguam Negara, Bank Negara, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ia bertanggungjawab menyiasat dakwaan media antarabangsa The Wall Street Journal (WSJ) bahawa wujud penyaluran dana berkaitan 1MDB ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sarawak Report semalam membuat dakwaan itu berasas maklumat diterima berkaitan sebuah akaun dengan Affin Bank Berhad.

Laman pembocor maklumat itu mendakwa RM2,000,000 dimasukkan ke dalam dua akaun secara berperingkat-peringkat.

Malaysiakini sudah menghubungi seorang pembantu Rosmah dan masih menunggu reaksi pihak beliau.

Bercakap dengan portal berita ini di Melaka kelmarin, Rosmah menasihatkan semua pihak supaya tidak memfitnah antara satu sama lain di bulan Ramadan yang mulia ini.