Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan bekas Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel dan tiga individu lain untuk mengetepikan arahan Pendaftar Pertubuhan (ROS) supaya parti itu mengadakan pemilihan semula parti.

Panel tiga aggota, dipengerusikan Hakim Datuk Aziah Ali, memutuskan bahawa ROS tidak bertindak melampaui dan melebihi bidang kuasanya apabila mengeluarkan arahan itu.

Palanivel, bekas Naib Presiden MIC Datuk S Sothinathan dan Datuk S Balakrishnan, serta Setiausaha Agung MIC A Prakash Rao merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 15 Jun, yang menolak permohonan semakan kehakiman mereka untuk membatalkan arahan ROS.

Berikutan keputusan itu, arahan ROS itu dikekalkan. Proses pemilihan di peringkat cawangan bermula sejak Khamis lepas.

Hakim Aziah berkata satu-satunya isu dalam rayuan itu adalah sama ada ROS bertindak melampaui bidang kuasanya mengikut Seksyen 16(1) dan Seksyen 3A Akta Pertubuhan 1966 ketika mengeluarkan arahan itu.

"Ini adalah keputusan sebulat suara kami, responden pertama (ROS) tidak bertindak di luar bidang kuasanya mengikut Seksyen 16 akta itu dengan mengeluarkan arahan mengikut Seksyen 3A memandangkan adalah sangat jelas bahawa Seksyen 3A merupakan peruntukan yang membenarkan kuasa tambahan bagi ROS untuk melaksanakan kewajipan statutorinya (dalam mengeluarkan arahan)," katanya.

Hakim Aziah memerintahkan keempat-empat mereka supaya membayar kos perundangan RM30,000 kepada RoS dan Menteri Dalam Negeri masing-masing selaku responden pertama dan kedua; RM30,000 kepada senator Datuk S Vigneswaran, dan RM30,000 kepada Naib Presiden MIC Datuk M Saravanan, yang merupakan pencelah dalam kes itu.

Dua lagi anggota dalam panel berkenaan ialah Hakim Datuk Umi Kalthum Abdul Majid dan Hakim Datuk Vernon Ong Lam Kiat.

Anggota panel membuat keputusan itu selepas mendengar hujah daripada peguam Ragunath Kesavan dan Datuk N.Sivananthan, mewakili keempat-empat mereka, dan peguam kanan pesekutuan Amarjeet Singh bagi pihak ROS, serta Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili Saravanan.

Pada 24 Februari, Palanivel, Sothinathan, Balakrishnan, dan Prakash Rao memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tingi Kuala Lumpur untuk membatalkan

arahan ROS.

Terdahulu, Ragunath berhujah bahawa ROS telah mengatasi bidang kuasanya dengan bergantung kepada Seksyen 3A dalam mengeluarkan arahan itu memandangkan seksyen berkenaan adalah peruntukan umum dan bukannya peruntukan khusus menurut Seksyen 16.

"Sehubungan itu, ROS adalah terikat dengan peruntukan Seksyen 16 dan tidak berhak untuk menggunakan peruntukan umum Seksyen 3A dalam melaksanakan kewajipan statutorinya," kata Ragunath.

Amarjeet berkata mengikut Seksyen 3A, ROS mempunyai kuasa untuk menjalankan kewajipan statutori dalam mengeluarkan arahan itu.

"Tanpa arahan mengikut Seksyen 3A, tidak akan ada pemberian kebenaran mengikut undang-undang untuk mengadakan pemilihan semula parti," katanya.

Sri Ram pula berhujah bahawa Seksyen 3A hanyalah sebagai pelengkap dan memberi tambahan kuasa serta fungsi kepada RoS untuk melaksanakan tugasnya.

Beliau berkata Seksyen 3A adalah lebih luas daripada peruntukan umum seperti yang dihujahkan oleh peguam perayu.

Ditanya sama ada beliau akan memfailkan rayuan berhubung keputusan hari ini, Sivananthan berkata belum ada arahan daripada anak guamnya setakat ini.

- Bernama