Politik wang: Di mana laporan agen-agen pengintip Umno?
Kini timbul tandatanya apakah tiada seorang pun daripada agen-agen yang dilantik oleh ibu pejabat Umno, yang membuat laporan mengenai perbuatan politik wang yang heboh diperkatakan berlaku sepanjang kempen pemilihan pucuk pimpinan Umno baru-baru ini.
Kini timbul tandatanya apakah tiada seorang pun daripada agen-agen yang dilantik oleh ibu pejabat Umno, yang membuat laporan mengenai perbuatan politik wang yang heboh diperkatakan berlaku sepanjang kempen pemilihan pucuk pimpinan Umno baru-baru ini.
"Seluruh Umno bercakap mengenai perbuatan membeli undi ... tetapi sehingga ini tiada satu pun laporan rasmi dibuat kepada Lembaga Disiplin Umno, termasuk oleh agen-agen tersebut ... amat menghairankan," kata sumber-sumber yang rapat dengan Umno.
Sebelum itu, berikutan kehangatan kempen untuk jawatan Naib Presiden dan Majlis Tertinggi (MT) Umno, maka ibu pejabat Umno telah mengumumkan perlantikan agen-agen untuk memerhati dan membuat laporan mengenai salahlaku dan politik wang.
Isu politik wang menjadi perbuatan umum, terutamanya di kalangan ahli dan perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno pada 23 September lalu, selepas keputusan mengejut pemilihan bagi jawatan Naib Presiden Umno.
Ini berikutan, kemenangan yang tidak disangka-sangka Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Isa Samad untuk memperolehi undi terbanyak bagi jawatan tersebut, dan diikuti oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Manakala penyandang jawatan tersebut, Menteri Pertanian dan Asas Tani Tan Sri Muhyiddin Yasin hanya mampu menduduk tempat ketiga. Seorang lagi penyandang Tan Sri Muhammad Muhd Taib tewas di tangga keempat.
Laporan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mustapa Mohamed yang disebut-sebut bakal memenangi salah satu kerusi Naib Presiden, turut tewas di tempat kelima.
Dua lagi calon Menteri Besar Pahang, Datuk Adnan Yaakob dan Datuk Shahrir Samad masing-masing menduduki tempat keenam dan ketujuh.
Berikutan itu, Adnan dengan lantangnya menimbulkan soal politik wang yang menurutnya berlaku sepanjang tempoh kempen pemilihan pucuk pimpinan Umno itu.
Bagaimanapun, semalam beliau berkata tidak akan membuat aduan rasmi kerana tidak mahu menjejaskan kedudukan rakan-rakannya yang telah menang dalam pemilihan tersebut.
Malah, Muhd Taib sendiri berkata beliau sepatutnya dapat mempertahankan jawatan Naib Presiden sekiranya tidak berlaku perbuatan membeli undi.
Kempen
Menurut sumber-sumber itu lagi: "Kalau Datuk Adnan dan Tan Sri Muhd Taib berkata demikian, pastinya berlaku politik wang ... kalau Datuk Adnan tidak mahu laporkan perkara itu .... habis macam mana pula dengan agen-agen yang dilantik oleh ibu pejabat Umno tersebut."
Berikutan itu, katanya, ada juga pihak yang beranggapan bahawa sebenarnya tidak ada agen-agen yang dilantik untuk 'mengintip' bagi pihak ibu pejabat Umno.
"Ada antara rakan-rakan saya yang berkata tiada agen yang dilantik, tetapi pengumuman mengenainya hanya dibuat untuk 'menakut-nakutkan' calon dan pengurus kempen mereka tidak terbabit dalam politik wang...," katanya.
Tindakan seumpama itu, katanya, jika benar pastinya akan menjejaskan nama baik Umno itu sendiri kerana "soal politik wang ini sudah riuh sekampung dan sukar untuk ditutup oleh pihak parti".
"Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta mereka yang mempunyai bukti supaya membuat aduan rasmi mengenai politik wang ... itu memang satu tindakan yang baik ... tapi pada masa yang sama siasat agen-agen tersebut ... sama mereka mengintip ataupun tidak...," tambahnya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.