Jawatankuasa Disiplin Umno sedang menyiasat dakwaan berlakunya politik wang yang membabitkan calon-calon yang bertanding jawatan Naib Presiden dan Majlis Tertinggi Umno.

Sumber-sumber yang rapat dengan Umno berkata, siasatan tersebut memang dijalankan tetapi ianya tidak diheboh-hebohkan bagi mengelak timbulnya pula spekulasi berhubung perkara tersebut.

"Saya diberitahu oleh mereka yang rapat dengan pucuk pimpinan parti bahawa siasatan itu memang sedang dijalankan oleh lembaga tersebut, tetapi ianya tidak dihebohkan.

"Ianya merupakan siasatan ... tidak semestinya ianya benar atau tidak. Jika diheboh-hebohkan sekarang, pastinya ada pihak yang akan menuding jari terhadap calon-calon terbabit.

"Jika wujud spekulasi seumpama itu ia mungkin menjejaskan calon-calon yang menang untuk menjalankan tugas mereka dengan baik, sedangkan mereka belum lagi dibuktikan bersalah atau tidak," katanya kepada malaysiakini .

Sumber-sumber itu memberitahu demikian ketika ditanya mengapa tidak ada langsung laporan yang dibuat mengenai politik wang kepada lembaga tersebut, sedangkan ramai pihak yang berkata ianya memang berlaku.

Malah, mereka juga mempertikaikan peranan yang dimainkan oleh agen-agen Umno yang sebelum ini telah dilantik untuk 'mengintai' dan melaporkan perbuatan membeli undi di kalangan calon-calon yang bertanding.

Beberapa pemimpin Umno termasuk Menteri Besar Pahang, Datuk Adnan Yaakob dan Menteri Penerangan Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir menimbulkan soal politik wang yang menurut mereka berlaku sepanjang tempoh kempen pemilihan pucuk pimpinan Umno itu.

Elak spekulasi

Isu politik wang menjadi perbuatan umum berikutan keputusan mengejut pemilihan bagi jawatan Naib Presiden Umno di mana Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Isa Samad tanpa disangka-sangka memperolehi undi terbanyak, diikuti oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Tujuh orang calon, termasuk Adnan turut bertanding jawatan tersebut. Mereka ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mustapa Mohamed dan Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Samad.

Bagaimanapun, sumber-sumber ini enggan memberitahu siapa yang membuat aduan kepada Lembaga Disiplin Umno ataupun siapakah calon-calon yang sedang disiasat.

"Itulah masalahnya ... kalau diberitahu siapa calon-calonnya, sebelum lagi lembaga tersebut membuat keputusan, mereka akan terlebih dahulu diadili oleh pihak media dan ahli-ahli Umno yang lain...

"Oleh itu, lebih baik jika mereka tidak mengetahui mengenainya ... jadi tidak lagi akan timbul spekulasi sehingga boleh menjejaskan tugas-tugas yang sepatutnya dijalankan oleh calon-calon berkenaan untuk kebaikan parti," tambahnya.

Ditanya sama ada pihak Umno benar-benar telah melantik kira-kira 1,000 agen untuk memantau perjalanan kempen bagi pemilihan Umno baru-baru ini, sumber-sumber berkata, memang perlantikan itu dibuat.

Beliau bagaimanapun tidak tahu sama ada agen-agen ini ada membuat laporan mengenai sebarang salahlaku atau penggunaan wang oleh calon-calon yang bertanding.