Seorang wanita maut apabila kereta yang dipandunya hilang kawalan lalu merempuh sebatang pokok di Jalan Sungai Korok di Jitra awal hari ini.

Kejadian pada pukul 5.40 pagi itu mengakibatkan kereta dipandu jurujual telefon bimbit, Norshuhada Mansor, 26, terputus dua dan terhumban ke dalam tali air berhampiran di sebelah kanan jalan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Abd Rahim Abdullah berkata mangsa mati di tempat kejadian.

Siasatan awal mendapati Norshuhada memandu seorang diri dan sedang dalam perjalanan dari arah Sungai Korok ke Pekan Jitra, katanya menerusi satu kenyataan.

Sementara itu di Seremban, seorang lelaki maut setelah motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kenderaan lain di Jalan Rantau-Linggi dekat Seremban malam tadi.

Jurucakap polis berkata dalam kejadian pada kira-kira jam 12.10 pagi itu, mangsa, Zainuddin Sangkar Abdullah, 43, dikatakan sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya setelah menziarahi rakannya sempena Aidilfitri dan ketika sampai di satu selekoh mangsa dirempuh sebuah kenderaan lain yang masih belum diketahui jenisnya.

Siasatan awal polis mendapati kenderaan yang merempuh mangsa hilang kawalan ketika melalui selekoh itu lalu merempuh di bahagian depan motosikal mangsa.

koran rempuhan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta badan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban ACP Muhamad Zaki Harun ketika dihubungi turut meminta orang ramai yang mengetahui kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

- Bernama